Emas 24 karat mengandungi hampir 100 peratus emas dengan sedikit bendasing. Peratusan itu sangat susah untuk dicapai. Tukang emas biasanya menggunakan satu daripada dua kaedah untuk proses penulenan. Proses Miller ialah cara yang paling cepat dan murah, tetapi tahap ketulenan hanya 99.95 peratus. Proses Wohlwill mengambil masa lebih lama dan mahal, tetapi hasilnya ialah 99.99 peratus.

Pada zaman Alkitab, tukang emas menggunakan api untuk menulenkan emas. Dalam suratnya yang pertama kepada orang percaya di Asia Kecil (Utara Turki), rasul Petrus menggunakan proses penulenan emas sebagai gambaran untuk menjelaskan bagaimana ujian hidup memurnikan kehidupan orang percaya. Pada masa itu, ramai orang yang dianiayai kerana iman mereka kepada Kristus. Petrus sendiri juga mengalami penganiayaan. Tetapi dia menjelaskan bahawa penganiayaan “membuktikan kemurnian iman [kita]” (1 Petrus 1:7, ATB).

Mungkin anda berasa sedang berada dalam api penulenan berbentuk cabaran seperti kegagalan, penyakit atau sebagainya. Kesukaran adalah proses yang dipakai Tuhan untuk memurnikan iman kita. Dalam kesakitan, kita mungkin meminta agar Tuhan menamatkan proses itu dengan segera tetapi Dia tahu apa yang terbaik bagi kita, biarpun hidup ini penuh dengan kesengsaraan. Tetaplah beriman serta mencari penghiburan dan kedamaian dalam Tuhan.