Kota Texarkana berada tepat di sempadan negeri Texas dan Arkansas. Penduduknya seramai 70,000 orang dan mempunyai 2 datuk bandar, 2 majlis bandar serta 2 jabatan polis dan bomba. Pertandingan sukan antara sekolah-sekolah menengah di kawasan sempadan ini sering menarik kehadiran ramai orang. Tetapi cabaran utama di situ ialah pergaduhan disebabkan sistem perkongsian air yang ditadbir oleh 2 undang-undang negeri. Walau bagaimanapun, pekan ini terkenal dengan kesatuan meskipun dibahagi oleh sempadan. Para penghuni berkumpul dalam jamuan setiap tahun di State Line Avenue untuk meraikan kesatuan mereka sebagai sebuah masyarakat.

Orang percaya di Korintus mungkin tidak dibahagi oleh garis sempadan, tetapi mereka terpisah. Mereka bergaduh disebabkan ketaatan mereka kepada Paulus, Apolos atau Kefas (Petrus) yang mengajar mereka tentang Yesus. Paulus memanggil mereka untuk “bersatu, sehati dan sejiwa” (1 Korintus 1:10), sambil mengingatkan mereka bahawa Kristus yang telah disalibkan untuk mereka, bukannya pemimpin rohani.

Kita juga sering bersikap sedemikian pada masa kini. Kita kadangkala menentang mereka yang berkongsi kepercayaan asas yang penting, iaitu pengorbanan Yesus demi dosa kita serta menjadikan mereka musuh dan bukan sekutu. Sebagaimana Kristus tidak terbahagi, demikian juga kita sebagai wakil-Nya di bumi iaitu Tubuh Kristus, tidak seharusnya mengizinkan perbezaan yang remeh-temeh memisahkan kita. Sebaliknya, marilah kita raikan kesatuan kita dalam Dia.