300 kanak-kanak sedang duduk untuk sarapan pagi. Doa syukur sebelum makan sudah dipanjatkan tetapi tiada makanan di atas meja! Situasi seperti ini sudah menjadi kebiasaan bagi George Mueller, misionari dan pengarah rumah anak yatim (1805-1898). Ini merupakan peluang untuk melihat bagaimana Tuhan membekalkan keperluan mereka. Beberapa minit selepas doa Mueller, seorang pembuat roti yang tidak dapat tidur semalaman datang dan memberi makanan kerana hatinya tergerak tentang keperluan mereka. Tidak lama kemudian, seorang penjual susu yang kerosakan kereta di depan rumah anak yatim datang dan menawarkan susu kerana tidak mahu membiarkan susu menjadi basi.

Ini merupakan perkara biasa untuk mengalami kekhuatiran dan mengasihani diri disebabkan kekurangan sumber seperti makanan, tempat tinggal, kesihatan, kewangan dan persahabatan. 1 Raja-Raja 17:8-16 mengingatkan kita bahawa pertolongan Tuhan datang melalui sumber yang tidak dijangka seperti kisah balu miskin. “Saya hanya mempunyai segenggam tepung gandum di dalam mangkuk dan sedikit minyak zaitun di dalam botol” (ayat 12). Kita juga membaca tentang burung gagak yang membekalkan keperluan Elia (ayat 4-6) sebelum ini. Kekhuatiran tentang keperluan boleh membuat kita mencari sumber di merata-rata tempat. Visi yang jelas tentang janji Tuhan sebagai Pembekal membebaskan kita daripada segala kekhuatiran. Tetapi perkara utama yang kita perlu lakukan adalah mencari Dia terlebih dahulu, maka kita tidak akan membuang masa dan tenaga, serta dapat mengelakkan kekecewaan.