Semasa lawatannya ke Mexico pada tahun 1962, Bill Ashe membaiki sebuah pam tangan untuk kincir angin di sebuah rumah anak yatim. 15 tahun kemudian, Bill rindu untuk melayani Tuhan dengan cara membekalkan air bersih ke kampung-kampung yang ada keperluan, maka dia menubuhkan sebuah organisasi bukan untung. Dia berkata, “Tuhan menyedarkan aku untuk ‘menggunakan masa sebaik-baiknya’ dengan mencari orang yang juga rindu untuk membekalkan air minuman bersih kepada penduduk miskin di pedalaman.” Bill menjemput lebih ramai orang menyertai pelayanan ini setelah mengetahui keperluan terhadap air bersih secara global yang diminta oleh ribuan pastor dan penginjil dari lebih 100 negara.

Tuhan mahu kita melakukan pelayanan bersama dengan Dia dan orang lain melalui pelbagai cara. Apabila pergaduhan tercetus di kalangan jemaah di Korintus mengenai mengikut pengajar kegemaran masing-masing, rasul Paulus menegaskan peranannya sebagai hamba Yesus dan rakan sepelayanan Apolos yang bersandar penuh kepada Tuhan untuk pertumbuhan rohani (1 Korintus 3:1-7). Dia mengingatkan kita bahawa semua tugas adalah penting di mata Tuhan (ayat 8). Paulus menekankan kepentingan bekerjasama dengan orang lain dalam pelayanan, dan mendorong kita saling membangun sementara Tuhan mengubah kita dalam kasih (ayat 9, ATB).

Walaupun Bapa kita yang maha kuasa tidak memerlukan pertolongan kita ketika melaksanakan pekerjaan-Nya yang besar, Dia melengkapi dan menjemput kita bekerja bersama dengan Dia.