Semasa saya dan suami saya meneroka kawasan terpencil yang tandus di negeri Wyoming, saya melihat bunga matahari bertumbuh di tempat berbatu dan kering, serta dikelilingi tumbuhan-tumbuhan berduri. Walaupun keadaan bunga itu tidak seperti yang saya pelihara di rumah, tetapi ia kelihatan cantik dan menyenangkan hati.

Keindahan yang tidak terduga di tengah-tengah persekitaran yang tandus mengingatkan saya bahawa orang percaya juga ada saat-saat yang kelihatan tidak bermaya atau tidak bersukacita. Kita juga akan menghadapi masalah yang tidak dapat diatasi. Doa kita ada kalanya seolah-olah tidak didengar seperti raja Daud: “Dengarlah seruanku, ya TUHAN, dan kabulkanlah doaku, kerana aku lemah dan tidak berdaya” (Mazmur 86:1). Seperti Daud, kita juga merindukan sukacita (ayat 4).

Tetapi Daud tetap mengisytiharkan bahawa kita melayani Tuhan yang setia (ayat 11) serta “pengasih dan penyayang” (ayat 15). Dia menyatakan kasih-Nya yang berkelimpahan kepada semua orang percaya (ayat 5). Dia mengabulkan doa kita (ayat 7).

Kadangkala dalam keadaan sukar, Tuhan mengirim bunga matahari—kata-kata dorongan atau nota daripada seorang kawan; ayat atau petikan Alkitab yang menghibur hati; pemandangan matahari terbit yang indah—menolong kita mara ke depan dengan harapan. Sementara menantikan saat Tuhan membebaskan kita daripada kesukaran, mari kita mengisytiharkan bersama dengan pemazmur, “Engkau berkuasa dan melakukan perkara yang ajaib; hanya Engkaulah Allah!” (ayat 10).