Corrie ten Boom yang terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi oleh rejim Nazi, memahami betapa pentingnya tentang pengampunan. Dalam bukunya Tramp for the Lord, dia mengatakan bahawa gambaran kegemarannya ialah tentang dosa-dosa yang diampuni dibuang ke laut. “Apabila kita mengakui dosa kita, Tuhan membuang dosa itu ke lautan yang paling dalam, hilang untuk selama-lamanya … saya percaya Tuhan kemudian meletakkan tanda ‘Dilarang Memancing’ di situ.”
Corrie menunjukkan kebenaran yang penting bahawa orang yang percaya kepada Yesus ada kalanya gagal memegang kebenaran tentang pengampunan Tuhan—apabila Tuhan mengampuni kesalahan kita, kita sungguh-sungguh diampuni! Kita tidak perlu terus mengimbas kembali perbuatan-perbuatan kita yang memalukan pada masa lalu. Sebaliknya kita menerima rahmat dan pengampunan-Nya, serta mengikuti Dia dengan bebas.
Kita melihat idea “Dilarang Memancing” wujud dalam Mazmur 130. Pemazmur mengisytiharkan bahawa walaupun Tuhan itu adil, Dia mengampuni dosa mereka yang bertaubat: “Tetapi Engkau mengampuni kami” (ayat 4). Ketika pemazmur menantikan Tuhan, dia menaruhkan harapan kepada-Nya (ayat 5), dan menyatakan dengan iman bahawa Dia “akan menyelamatkan umat-Nya Israel daripada segala dosa mereka” (ayat 8). Orang yang percaya akan mendapat penebusan penuh (ayat 7).
Apabila kita terperangkap oleh perasaan malu dan tidak layak, kita tidak dapat melayani Tuhan dengan segenap hati. Sebaliknya, kita terbatas oleh masa lampau kita. Jika anda berasa terhalang disebabkan dosa pada masa dahulu, mohonlah agar Tuhan menolong anda percaya sepenuhnya kepada pengampunan dan hidup baru yang diberikan-Nya. Dia membuang semua dosa anda ke dalam laut!