Ketika Johannes Gutenberg menggabungkan mesin cetak dengan pencetakan taip cerai (kepingan-kepingan taip logam yang mudah alih) pada tahun 1450, dia membawa masuk era komunikasi massa di dunia Barat dan menyebarkan pembelajaran ke alam sosial baru. Kebolehan membaca dan menulis yang semakin meningkat di seluruh dunia dan idea-idea baru telah menghasilkan transformasi pesat dari segi sosial dan agama. Gutenberg menghasilkan versi cetakan Alkitab yang pertama. Sebelum ini, Alkitab disalin oleh jurutulis dengan tangan secara teliti sehingga mengambil masa setahun untuk menghasilkannya.
Selepas berabad-abad lamanya, mesin cetak telah memberi kemudahan kepada kita untuk membaca firman Tuhan secara langsung. Walaupun kita mempunyai versi elektronik yang tersedia, kebanyakan kita tetap menggunakan Alkitab cetakan kerana daya cipta Gutenberg. Dahulunya penghasilan Alkitab memerlukan banyak masa dan kos, tetapi kini kita dapat memperolehnya dengan mudah.
Kemudahan untuk membaca kebenaran Tuhan merupakan keistimewaan yang luar biasa. Penulis Amsal mengatakan bahawa kita perlu menghargai perintah-perintah-Nya dalam firman Tuhan, “sebagaimana [kita] berhati-hati menjaga mata [kita]” (Amsal 7:2) dan menulis kata-kata hikmat-Nya “dalam hati [kita]” (ayat 3). Ketika kita berusaha untuk memahami Alkitab dan hidup sesuai dengan hikmatnya, kita seperti jurutulis yang sedang menulis kebenaran Tuhan dari “jari” sehingga ke dalam hati kita untuk dibawa ke mana sahaja kita pergi.
ILHAM
Dalam Amsal 7:1-5, Salomo memberi amaran kepada anaknya (atau anak-anak, tercatat dalam ayat 24) untuk mematuhi kata-katanya. Dia menggunakan gambaran seorang perempuan berzina yang menyesatkan seseorang lelaki untuk menerangkan kepentingan ketaatan dan menggambarkan bahaya rumah perempuan itu sebagai “jalan pintas menuju maut” (ayat 27).Untuk menuruti perintah Salomo dan mengelakkan perempuan yang menggoda itu, pembaca harus “tambatkanlah semuanya itu pada jarimu, dan tulislah itu pada loh hatimu.” (Amsal 7:3, ATB). Metafora ini memperlihatkan keperluan untuk perubahan tindakan luaran (jari dari segi fizikal) dan sifat dalaman (sikap hati). Kebijaksanaan dirujuk sebagai “saudara” dalam ayat 4 yang secara umum bermaksud saudari yang rapat dan intim. Berdasarkan konteks, ia kadangkala boleh merujuk kepada seorang isteri atau pengantin. Kedua-duanya menonjolkan hubungan yang rapat dan menekankan kepentingan untuk mendengari nasihat ini.