Rakan saya, Ellen bekerja mengira gaji untuk firma perakaunan. Pekerjaan ini mungkin kedengaran mudah, tetapi ada kalanya majikan menyerahkan maklumat mereka lebih lambat daripada masa yang ditentukan. Akibatnya, Ellen harus bekerja lebih masa supaya para pekerja menerima gaji tepat pada masa. Dia melakukan ini disebabkan pertimbangan terhadap ahli keluarga yang bergantung pada wang tersebut untuk membeli barang harian, membeli ubat dan membayar pinjaman perumahan.
Pendekatan Ellen yang penuh empati terhadap tugasnya membuat saya merenungkan Yesus. Sewaktu di bumi, ada kalanya Dia melayani orang ramai dalam keadaan yang menyusahkan. Contohnya, Yesus memerlukan masa bersendirian setelah Dia mendengar Yohanes Pembaptis dibunuh, jadi Dia menaiki sampan untuk mencari tempat yang sunyi (Matius 14:13). Mungkin Dia perlu meratapi saudara-Nya itu dalam doa.
Masalahnya, orang ramai selalu mengikuti Dia dan mengajukan pelbagai keperluan. Ia akan lebih mudah sekiranya Dia menyuruh mereka pergi, tetapi “apabila Yesus turun dari perahu dan melihat orang ramai itu, Dia mengasihani mereka dan menyembuhkan orang sakit di situ” (ayat 14).
Walaupun pengajaran dan penyembuhan penyakit merupakan sebahagian pelayanan Yesus di bumi, empati-Nya mempengaruhi cara Dia melaksanakan tanggungjawab-Nya. Semoga Tuhan menolong kita mengenal belas kasihan-Nya dalam kehidupan kita dan memberi kita kekuatan untuk menyampaikannya kepada orang lain.