Penskalaan (Scaling) ialah istilah yang digunakan dalam dunia kecergasan yang memberikan peluang bagi setiap orang untuk menyertainya. Sekiranya latihan tertentu ialah tekan tubi, mungkin anda boleh melakukannya 10 kali berturut-turut, tetapi saya hanya boleh melakukan sebanyak 4 kali. Galakan yang diberi oleh jurulatih kepada saya adalah mengubahsuai bilangan tekan tubi mengikut tahap kecergasan. Kita tidak berada pada tahap yang sama, tetapi kita boleh bergerak menuju arah yang sama. Dengan kata lain, dia akan berkata, “Buat tekan tubi sebanyak 4 kali dengan segala tenaga anda. Jangan membandingkan diri anda dengan orang lain. Ubahsuaikan pergerakan anda sekarang dan terus lakukan semampu yang boleh. Pada suatu hari kelak, anda pasti kagum apabila anda dapat melakukannya sebanyak 7 kali, bahkan 10 kali.”
Mengenai pemberian, rasul Paulus mengatakan dengan sangat jelas: “Allah mengasihi orang yang memberi dengan senang hati” (2 Korintus 9:7). Tetapi dorongannya kepada orang percaya di Korintus dan kepada kita mempunyai penskalaan yang berbeza. “Masing-masing harus memberi sebanyak yang telah ditentukannya” (ayat 7). Kita mendapati tahap pemberian yang berbeza pada diri kita dan kadang-kadang tahap tersebut berubah dari semasa ke semasa. Perbandingan tidak memberi manfaat melainkan sikap kita yang betul dalam pemberian. Berilah dengan senang hati (ayat 6), menurut kemampuan anda. Tuhan berjanji bahawa memberi dengan senang hati akan membawa berkat kepada hidup kita, dan ini membuat kita “bersyukur kepada Allah” (ayat 11).
ILHAM
2 Korintus 8-9 mengandungi ajaran yang komprehensif mengenai memberi dalam Perjanjian Baru. Orang percaya di Yerusalem sangat miskin kerana kebuluran yang dahsyat (Kisah Rasul-Rasul 11:28-29; Roma 15:26). Orang Makedonia, yang “sangat miskin,” memberi dengan murah hati (2 Korintus 8:1-5). Bagaimanapun, orang di Korintus yang kaya telah berjanji untuk memberi kewangan tetapi tidak terjadi. Paulus kini menggesa mereka untuk menunaikan janji mereka (2 Korintus 8:6-11; 9:1-6).Pengurusan benda yang dapat memuliakan Tuhan adalah sukarela, bukan wajib (2 Korintus 8:3; 9:5, 7); murah hati, bukan kedekut (8:2; 9:6, 13); bersukacita, bukan menaruh dendam (8:2-3, 11-12; 9:7); bertujuan dan bukan sesuka hati (9:7); dan berdasarkan kemampuan seseorang (8:11-13). Tuhan memberkati orang Korintus dari segi kebendaan supaya mereka dapat berkongsi kelimpahan itu dengan orang lain yang ada keperluan (8:14-15; 9:8-11). Paulus, memetik Mazmur 112:9, mengatakan ini kepada pemberi yang rela dan sukacita: “Dia bermurah hati kepada orang miskin, kebaikan hatinya kekal selama-lamanya” (2 Korintus 9:9).