Kami hampir sampai di rumah ketika saya menyedari jarum pengukur suhu kereta kami menunjukkan bacaan tinggi. Maka kami berhenti di tepi jalan dan keluar dari kereta dengan segera. Asap keluar dari bonet kereta dan bunyi desiran enjin kedengaran. Saya mengundurkan kereta beberapa meter dan mendapati lopak minyak di bawahnya. Ternyata kepala gasket telah rosak.
Saya mengeluh. Kami baru sahaja membelanjakan wang yang banyak untuk membaiki bahagian kereta yang lain. Mengapa masih ada kerosakan? Saya kecewa dan merungut. Kenapa masih wujud masalah?
Adakah anda ada pengalaman yang sama? Kadang-kadang kita berjaya mengelakkan satu krisis, menyelesaikan satu masalah, atau melunaskan satu bil yang tinggi, tetapi timbul masalah yang lain. Bahkan masalah yang lebih dahsyat daripada kerosakan enjin kereta: penyakit, kematian dan kerugian teruk.
Pada masa yang mencabar itu, kita merindukan dunia yang lebih baik dan kurang bermasalah. Seperti dijanjikan Yesus, dunia sedemikian pasti akan terjadi. Dia mengingatkan para pengikut-Nya dalam Yohanes 16:33, “Di dunia kamu akan menderita, tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana Aku sudah mengalahkan dunia!” Dalam fasal ini, Yesus berbicara tentang masalah-masalah besar seperti penganiayaan kerana iman. Tetapi Dia mengajar bahawa penderitaan seumpama itu mampu dihadapi oleh mereka yang berharap kepada-Nya.
Masalah kecil dan besar mungkin mengancam hidup kita. Tetapi Yesus menjanjikan masa depan yang lebih cerah bersama Dia, mendorong kita agar tidak membiarkan masalah menentukan kehidupan kita pada hari ini.