Setelah Charles Simeon (1759-1836) ditahbiskan sebagai pastor Gereja Holy Trinity di Cambridge, England, dia menghadapi tentangan selama bertahun-tahun. Disebabkan kebanyakan jemaah menginginkan pastor lain dilantik dan bukannya Simeon, maka mereka menyebarkan khabar angin tentang dia dan menolak pelayanannya, bahkan kadang-kadang mengunci gereja agar dia tidak dapat masuk. Tetapi Simeon mentaati pimpinan Roh Tuhan, malah dia berusaha mengatasi gosip itu dengan berpegang pada beberapa prinsip. Pertama, seseorang tidak seharusnya mempercayai khabar angin kecuali ia telah disahkan betul. Kedua, selalu percaya bahawa kisah yang diceritakan oleh pihak lain akan menjadi versi yang berbeza.

Dengan mempraktikkan amalan ini, Simeon telah mengikut perintah Tuhan untuk menghentikan gosip dan fitnah yang akan menghancurkan kasih antara sesama. Salah satu daripada Sepuluh Hukum Tuhan menyatakan kehendak Tuhan supaya mereka hidup dengan benar: “Jangan berikan kesaksian palsu tentang orang lain” (Keluaran 20:16). Satu lagi perintah dalam Keluaran yang menegaskan hukum ini ialah “Jangan sebarkan berita dusta” (23:1).

Fikirkan perbezaan yang kita bawa kepada dunia ini, jika kita menghentikan penyebaran khabar angin dan berita palsu pada saat kita mendengarnya. Semoga kita bergantung kepada Roh Kudus untuk menolong kita bercakap benar dalam kasih untuk kemuliaan Tuhan.