Penulis Mark Twain berpendapat bahawa apa sahaja yang kita lihat dalam kehidupan dan cara kita melihatnya akan mempengaruhi langkah kita yang seterusnya dan matlamat hidup kita. Twain menulis, “Ketika imaginasi anda kehilangan fokus, anda tidak dapat mempercayai apa yang dilihat.”

Petrus juga bercakap tentang penglihatan ketika dia menjawab seorang pengemis lumpuh yang ditemuinya dan Yohanes di Pintu Indah Rumah Tuhan (Kisah Rasul-Rasul 3:2). Ketika pengemis itu meminta wang daripada mereka, Petrus dan Yohanes memandang terus kepadanya. “Lalu Petrus berkata, ‘Pandanglah kami!’ ” (ayat 4).

Mengapakah dia berkata demikian? Sebagai pengikut Kristus, mungkin Petrus mahu agar pengemis itu berhenti melihat keterbatasannya sendiri mahupun keperluannya terhadap wang. Ketika dia memandang mereka, dia dapat melihat perubahan kerana kepercayaannya kepada Tuhan.

Petrus berkata kepadanya, “ ‘Aku sama sekali tidak mempunyai wang, tetapi apa yang ada padaku akan aku berikan kepadamu: dengan kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu, berjalanlah!’ Lalu Petrus memegang tangan kanan orang lumpuh itu dan menolong dia bangun. Seketika itu juga kaki dan pergelangan kaki orang lumpuh itu menjadi kuat. Lalu dia melompat bangun, … serta memuji Allah” (ayat 6-8).

Apakah yang berlaku? Pengemis itu percaya kepada Tuhan (ayat 16). Penginjil Charles Spurgeon menggesa, “Berfokus hanya pada Dia.” Apabila kita berbuat demikian, kita tidak melihat halangan, melainkan Tuhan yang menyediakan jalan bagi kita.