Sarah hanya bergantung pada kerusi roda elektrik untuk bergerak kerana menghidap penyakit sendi yang jarang dihidapi orang. Dalam perjalanannya menghadiri sebuah mesyuarat, dia menaiki kerusi rodanya ke stesen kereta api tetapi lif rosak. Tanpa jalan lain untuk sampai ke platform, dia disuruh menaiki teksi ke stesen lain yang sejauh 40 minit perjalanan. Namun, teksi yang dipanggil tidak sampai. Sarah berasa kecewa lalu pulang.

Sedihnya, kejadian seperti ini biasanya berlaku ke atas Sarah. Lif yang rosak menghalangnya untuk menaiki kereta api, dan tanjakan yang tidak tersedia menyebabkan dia tidak dapat turun dari kereta api. Kadangkala Sarah dianggap oleh kakitangan kereta api sebagai orang yang menyusahkan apabila meminta pertolongan. Hal ini membuat Sarah sedih.

Antara banyak perintah Alkitab mengenai hubungan sesama manusia, “Kasihilah sesama kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri” adalah kunci utama (Imamat 19:18; Roma 13:8-10). Sementara kasih menghalang kita daripada menipu, mencuri dan menganiayai orang lain (Imamat 19:11, 14), ia juga mengubah cara kita melakukan tugas. Para pekerja harus diperlakukan dengan adil (ayat 13), dan kita harus bermurah hati terhadap orang miskin (ayat 9-10). Dalam kes Sarah, tugas mereka untuk membaiki lif dan menyediakan tanjakan merupakan perkhidmatan yang penting kepada orang lain.

Sekiranya kita menjadikan kerja kita hanya untuk mendapatkan gaji atau manfaat peribadi, kita akan segera menunjukkan kejengkelan ketika memperlakukan orang lain. Tetapi jika kita menganggap pekerjaan sebagai peluang untuk mengasihi orang lain, tugas harian kita akan menjadi pekerjaan yang mulia.