Fredie Blom dari Afrika Selatan berumur 114 tahun pada 2018 dan dikenal sebagai orang tertua. Dia dilahirkan pada tahun 1904, pada tahun adik-beradik Wright membina kapal terbang Flyer II, dia pernah melalui dua Perang Dunia, aparteid (dasar perkauman) dan Kemelesetan Ekonomi Dunia. Ketika ditanya rahsia untuk umur yang panjang, Blom hanya mengangkat bahu. Seperti kebanyakan kita, dia tidak selalu memilih makanan dan amalan yang menjaga kesihatan. Walau bagaimanapun, Blom menyatakan satu sebab untuk kesihatannya yang luar biasa: “Hanya ada satu perkara, itulah [Tuhan]. Dia ada segala kuasa … Dia memegangku.”

Kata-kata Blom serupa dengan apa yang dikatakan Tuhan kepada bangsa Israel semasa mereka menjadi lemah akibat penindasan musuh sengit. Tuhan berjanji, “Aku akan memegang engkau dengan tangan kanan-Ku.” (Yesaya 41:10, ATB). Tidak kira betapa terdesaknya keadaan mereka, betapa mustahil pun kemungkinan mereka memperoleh bantuan, Tuhan memberi jaminan kepada umat-Nya bahawa mereka di bawah jagaan-Nya yang penuh kasih. “Janganlah takut, sebab Aku menyertai engkau, janganlah bimbang, sebab Aku ini Allahmu” (ayat 10, ATB).

Tidak kira berapa jangka hayat kita, kesukaran hidup akan datang mengetuk pintu kita. Perkahwinan yang bermasalah. Seorang kanak-kanak meninggalkan keluarganya. Laporan kesihatan yang menakutkan. Malah penganiayaan. Walau bagaimanapun, Tuhan kita menghampiri kita dan memegang kita dengan erat. Dia mencari dan memegang kita dalam tangan-Nya yang kuat dan lembut.