Mengikut legenda keluarga, dua adik-beradik lelaki, Billy dan Melvin berdiri di ladang tenusu keluarga mereka pada suatu hari. Mereka terlihat sebuah pesawat yang melalui di langit seolah-olah menghasilkan penulisan dua huruf Inggeris “GP”.

Kedua-dua beradik tersebut memutuskan bahawa apa yang dilihat mempunyai makna bagi mereka. Seorang berfikir bahawa ia bermakna Go Preach (Pergi Menginjil). Seorang lagi pula menafsirkannya Go Plow (Pergi Membajak). Bertahun-tahun kemudian, salah seorang saudara itu, Billy Graham, mengabdikan diri untuk memberitakan Injil dan menjadi ikon penginjilan. Adiknya, Melvin pula terus mengusahakan ladang tenusu keluarga dengan setia selama bertahun-tahun.

Tanpa melihat peristiwa “GP” tersebut, sekiranya Tuhan memanggil Billy untuk menginjil dan Melvin untuk membajak, dalam kes demikian, kedua-dua telah memuliakan Tuhan melalui pekerjaan mereka. Walaupun Billy mempunyai kerjaya menginjil yang lama, ia tidak bermakna bahawa ketaatan adiknya dalam panggilannya untuk membajak adalah sesuatu yang kurang penting.

Walaupun Tuhan memanggil sesetengah orang bekerja sepenuh masa dalam pelayanan (Efesus 4:11-12), itu tidak bermakna pekerjaan dan peranan lain tidak mempunyai kepentingan yang sama. Dalam apa-apa keadaan, sebagaimana Paulus berkata, “setiap anggota bekerja dengan sepatutnya” (ayat 16). Ini membawa kemuliaan kepada Yesus apabila kita setia menggunakan kurnia-kurnia yang diberikan-Nya. Apabila kita berbuat demikian, sama ada kita “pergi menginjil” atau “pergi membajak,” kita boleh membawa pengaruh demi Yesus di mana sahaja kita melayani atau bekerja.