Bayangkan kehidupan tanpa telefon pintar, Wi-Fi, GPS, alat peranti Bluetooth atau ketuhar gelombang mikro. Itulah cara hidup penduduk di sebuah bandar kecil Green Bank, Virginia Barat, yang dikenal sebagai “bandar yang paling senyap di Amerika.” Ia juga merupakan lokasi Balai Cerap Green Bank, teleskop radio boleh kendali yang terbesar di seluruh dunia. Teleskop itu memerlukan “suasana yang senyap” untuk “mendengar” gelombang radio semula jadi yang dipancarkan oleh pergerakan pulsar dan galaksi di angkasa jauh. Teleskop ini mempunyai permukaan yang lebih besar daripada padang bola sepak dan berada di tengah-tengah Zon Senyap Radio Negara, kawasan seluas 13,000 batu persegi yang dibangunkan untuk mengelakkan gangguan elektronik pada teleskop yang sangat peka itu.

Kesenyapan yang disengajakan membolehkan saintis mendengar “muzik cakerawala.” Ia juga mengingatkan saya bahawa kita perlu menenangkan diri untuk mendengar Tuhan yang menciptakan alam semesta. Tuhan berbicara kepada orang yang sesat lagi memberontak melalui nabi Yesaya, “Sekarang dengarlah, hai umat-Ku; datanglah kepada-Ku, lalu kamu akan hidup. Aku akan mengadakan perjanjian yang kekal dengan kamu “ (Yesaya 55:3). Tuhan menjanjikan kasih setia-Nya kepada semua yang mencari-Nya dan berpaling kepada-Nya untuk pengampunan.

Kita sengaja mendengar Tuhan dengan berpaling daripada gangguan agar boleh bertemu dengan Dia melalui Alkitab dan doa. Tuhan tidak jauh. Dia merindukan kita meluangkan masa dengan-Nya supaya Dia menjadi keutamaan dalam hidup kita seharian dan selama-lamanya.