Apabila Chad Graham, seorang pastor gereja di Colorado memandu melalui kawasan berpendapatan rendah berhampiran gerejanya, dia mula berdoa untuk “jiran-jirannya”. Dia terlihat sebuah kedai dobi kecil lalu masuk ke dalamnya dan mendapati kedai itu penuh dengan pelanggan. Seorang pelanggan datang meminta duit syiling daripada Graham untuk menggunakan mesin pengering pakaian. Permintaan kecil itu memberinya inspirasi untuk mengadakan “Hari Dobi” pada setiap minggu yang ditaja oleh gereja Graham. Anggota-anggota gerejanya mendermakan syiling dan sabun pakaian ke kedai dobi, berdoa dengan para pelanggan dan menyokong pemilik kedai dobi tersebut.
Penjangkauan mereka yang berani di kawasan tersebut melalui sebuah kedai dobi, mencerminkan Amanat Agung Yesus kepada para pengikut-Nya. Dia berkata, “Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku. Baptislah mereka dengan menyebut nama Bapa, Anak, dan Roh Allah” (Matius 28:18-19).
Hadirat Roh Kudus yang berkuasa membolehkan jangkauan di mana-mana, termasuklah kedai dobi itu. Sesungguhnya, kita tidak pergi sendirian. Seperti dijanjikan oleh Yesus, “Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman” (ayat 20).
Pastor Chad mengalami kebenaran itu selepas berdoa di kedai dobi tersebut untuk seorang pelanggan yang bernama Jeff yang sedang melawan penyakit kanser. Menurut Chad, “Ketika kami membuka mata, rupanya setiap pelanggan di kedai itu juga berdoa bersama-sama kami dengan mengangkat tangan mereka ke arah Jeff. Inilah saat yang paling kudus yang aku pernah alami sebagai pastor.”
Apakah pelajarannya? Marilah kita pergi ke mana-mana untuk memberitakan Kristus.
ILHAM
Perintah Yesus kepada pengikut-pengikut-Nya supaya pergi dan menjadikan lebih banyak pengikut (Matius 28:19) yang secara umum dikenal sebagai Amanat Agung. Namun, terselit di tengah adegan itu ada sebuah frasa yang biasanya kurang diperhatikan. Ketika para pengikut bertemu dengan Yesus di atas bukit, mereka menyembah-Nya. Kemudian dicatatkan bahawa “ada di kalangan mereka yang ragu-ragu” (ayat 17). Beberapa pengulas berpendapat bahawa terdapat orang lain yang hadir dan berdiri agak jauh kerana mereka ragu-ragu. Namun, apakah yang menjadikan mereka ragu-ragu?Perkataan yang diterjemahkan sebagai “ragu-ragu” dalam bahasa Yunani adalah edistasan. Matius adalah satu-satunya penulis Perjanjian Baru yang menggunakan perkataan tersebut (yang juga ditemukan dalam 14:31, yang diterjemahkan sebagai “kurang percaya”). Perkataan itu boleh bererti bimbang, meragui atau teragak-agak. Mungkin “teragak-agak” adalah lebih tepat. Mungkin mereka yang berdiri agak jauh dari tempat Yesus mengajar (mereka yang berada di pinggir mungkin belum melihat Kristus yang telah bangkit) menunjukkan perasaan yang teragak-agak dan bukan menyembah-Nya dengan serta-merta.