Apabila Chad Graham, seorang pastor gereja di Colorado memandu melalui kawasan berpendapatan rendah berhampiran gerejanya, dia mula berdoa untuk “jiran-jirannya”. Dia terlihat sebuah kedai dobi kecil lalu masuk ke dalamnya dan mendapati kedai itu penuh dengan pelanggan. Seorang pelanggan datang meminta duit syiling daripada Graham untuk menggunakan mesin pengering pakaian. Permintaan kecil itu memberinya inspirasi untuk mengadakan “Hari Dobi” pada setiap minggu yang ditaja oleh gereja Graham. Anggota-anggota gerejanya mendermakan syiling dan sabun pakaian ke kedai dobi, berdoa dengan para pelanggan dan menyokong pemilik kedai dobi tersebut.

Penjangkauan mereka yang berani di kawasan tersebut melalui sebuah kedai dobi, mencerminkan Amanat Agung Yesus kepada para pengikut-Nya. Dia berkata, “Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku. Baptislah mereka dengan menyebut nama Bapa, Anak, dan Roh Allah” (Matius 28:18-19).

Hadirat Roh Kudus yang berkuasa membolehkan jangkauan di mana-mana, termasuklah kedai dobi itu. Sesungguhnya, kita tidak pergi sendirian. Seperti dijanjikan oleh Yesus, “Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman” (ayat 20).

Pastor Chad mengalami kebenaran itu selepas berdoa di kedai dobi tersebut untuk seorang pelanggan yang bernama Jeff yang sedang melawan penyakit kanser. Menurut Chad, “Ketika kami membuka mata, rupanya setiap pelanggan di kedai itu juga berdoa bersama-sama kami dengan mengangkat tangan mereka ke arah Jeff. Inilah saat yang paling kudus yang aku pernah alami sebagai pastor.”

Apakah pelajarannya? Marilah kita pergi ke mana-mana untuk memberitakan Kristus.