Semasa bercuti untuk meraikan ulang tahun perkahwinan yang ke-25, saya dan suami saya membaca Alkitab di pantai. Para penjual berlalu sambil menjerit harga barangan mereka, tetapi kami hanya mengucapkan terima kasih kepada setiap penjual dan tidak membeli apa-apa. Seorang penjual, Fernando, tersenyum lebar walaupun saya menolaknya. Dia masih meminta saya membuat pertimbangan untuk membeli hadiah untuk kawan-kawan. Selepas saya menolaknya, Fernando berkemas dan mula berjalan dengan senyuman. “Saya berdoa agar Tuhan memberkati anda,” saya berkata.

Fernando berpaling ke arah saya dan berkata, “Amen! Yesus telah mengubah hidupku.” Seterusnya, Fernando berlutut di antara kerusi kami. “Aku merasakan hadirat-Nya di sini.” Dia pun berkongsi bagaimana Tuhan membebaskannya daripada penyalahgunaan dadah dan alkohol lebih daripada 14 tahun yang lalu.

Air mata saya mengalir ketika dia menghafaz seluruh puisi daripada Mazmur dan berdoa untuk kami. Kami memuji Tuhan bersama-sama dan bersukacita dalam hadirat-Nya … di pantai.

Mazmur 148 ialah doa pujian. Pemazmur mendorong seluruh ciptaan “memuji nama TUHAN; semuanya tercipta oleh perintah-Nya” (ayat 5), “Dia lebih agung daripada semua yang lain; Dia lebih berkuasa daripada semua yang di bumi dan di syurga” (ayat 13).

Tuhan mengundang kita menyerahkan keperluan kita kepada-Nya dan percaya bahawa Dia mendengar dan menjaga kita, malah Dia juga berkenan kepada doa-doa kesyukuran di mana sahaja kita berada. Biarpun di pantai.