Saya ialah salah satu daripada jutaan orang di seluruh dunia yang menghidap gangguan afektif bermusim atau Seasonal Affective Disorder (SAD), sejenis kemurungan yang biasanya berlaku di tempat-tempat yang mempunyai cahaya matahari yang terhad disebabkan oleh siang hari yang pendek pada musim sejuk. Apabila saya mula takut bahawa musim sejuk tidak akan berakhir, saya tidak sabar untuk siang hari yang lebih panjang dan suhu yang lebih panas menjelang.

Tanda-tanda pertama musim bunga—bunga yang berjaya menembusi salji yang berlarutan—juga mengingatkan saya tentang harapan Tuhan yang dapat menembusi musim-musim kegelapan kita. Nabi Mikha mengetahui hal ini walaupun dia sedang mengalami “musim sejuk” yang menyayat hati ketika orang Israel berpaling daripada Tuhan. Semasa Mikha memerhatikan situasi yang suram itu, dia mengeluh bahawa “tiada lagi orang jujur di dalam negeri” (Mikha 7:2).

Namun, walaupun keadaannya teruk, nabi itu enggan berputus asa. Dia percaya bahawa Tuhan sedang bekerja (ayat 7)—walaupun di tengah-tengah kehancuran.

Pada “musim sejuk” yang gelap dan kadangkala seolah-olah tidak berkesudahan, ketika musim bunga belum wujud, kita menghadapi pergelutan yang sama seperti Mikha. Adakah kita akan berputus asa? Atau adakah kita akan “berharap kepada Allah?” (ayat 7).

Harapan kita dalam Tuhan tidak akan mengecewakan kita (Roma 5:5). Dia akan membawa satu musim yang tiada lagi “musim sejuk” dalam hidup kita: “Kematian akan tiada lagi, demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan” (Wahyu 21:4). Sebelum hari itu menjelang, semoga kita berehat dalam Dia dan mengatakan, “Aku berharap kepada-Mu” (Mazmur 39:8).