Sekeping gambar membuat saya ketawa. Orang ramai telah berbaris di jalanan Mexico, melambai-lambaikan bendera dan menaburkan konfeti sambil menunggu kedatangan paus. Tiba-tiba di tengah jalan, wujudnya seekor anak anjing liar yang kelihatan tersenyum seolah-olah sorakan itu adalah untuknya. Ya! Setiap orang patut mempunyai hari yang istimewa ini, seperti anak anjing tersebut.
Comelnya apabila anak anjing itu “menjadi tumpuan perhatian,” tetapi mencuri pujian orang lain boleh memusnahkan kita. Daud sedar akan perkara ini, dan dia enggan meminum air yang dibawa oleh para pahlawannya yang gagah setelah mereka mempertaruhkan nyawa mereka untuk mendapatkannya. Dia mengatakan betapa baiknya jika seseorang mengambil minuman dari telaga di Betlehem. 3 orang askarnya terdengar dan terus mengambil tindakan. Mereka menembusi pertahanan musuh, menimba air di perigi dan membawanya kembali. Daud terkejut dengan pengabdian mereka. Dia enggan minum air itu, tetapi “mencurahkan air itu sebagai persembahan kepada TUHAN” (2 Samuel 23:16).
Respons kita terhadap pujian dan kemuliaan akan menonjolkan isi hati kita. Apabila pujian ditujukan kepada orang lain, terutamanya Tuhan, jangan merebutnya. Ini sememangnya bukan untuk kita. Apabila kita menerima pujian, ucapkan terima kasih kepada orang itu, dan menyerahkan segala kemuliaan kepada Yesus. “Air” itu bukan untuk kita juga. Berikan kesyukuran, kemudian curahkannya sebagai persembahan kepada Tuhan.
ILHAM
2 Samuel 21–24 dapat dilihat sebagai penutup bagi kedua-dua kitab Samuel. Penutup itu mengisahkan kegagalan Saul dan Daud sebagai raja yang telah membahayakan orang lain. Saul membunuh orang Gibeon (21:1), dan kegagalan Daud menjejaskan orang Israel (24:17). Mengenai kegagalan tersebut, bahagian penutup ini menyebut kelemahan Daud dan kesandaran kepada para askarnya.Ada dua syair di tengah penutup tersebut, Daud mengenang kembali kehidupannya dengan menceritakan kesetiaan dan janji Tuhan untuk membangkitkan Mesias, seorang raja yang lebih baik. Syair-syairnya memperkuat tema utama kitab Samuel 1 dan 2, iaitu Tuhan meninggikan yang rendah hati dan menentang yang sombong, dan bagaimana Dia bersifat setia terhadap janji-janji-Nya, meskipun kejahatan manusia masih besar.