Ketika saya masuk ke pejabat penyelia saya yang baru, saya berasa waswas dan tidak tenteram. Penyelia lama saya telah mengurus jabatan kami dengan kasar dan merendahkan orang lain, membuat saya (dan rakan sekerja yang lain) menangis. Sekarang saya tertanya-tanya, Apakah sifat bos baru aku pula? Tidak lama selepas saya melangkah masuk ke pejabat bos baru, ketakutan saya hilang kerana dia menyambut saya dengan mesra dan meminta saya berkongsi tentang diri saya serta kekecewaan saya. Dia mendengar saya dengan bersungguh-sungguh dan melalui ekspresinya yang baik dan kata-katanya yang lembut, saya tahu dia benar-benar mempedulikan saya. Dia orang yang percaya kepada Yesus, yang kemudiannya menjadi mentor kerja saya, pendorong dan sahabat saya.
Rasul Paulus ialah mentor rohani Titus, yang bagaikan anaknya sendiri dalam iman kepada Kristus (Titus 1:4). Dalam suratnya kepada Titus, Paulus memberinya arahan dan garis panduan yang berguna bagi peranannya dalam gereja. Dia bukan sahaja mengajar, malah meminta Titus “mengajarkan apa yang sesuai dengan asas kepercayaan yang benar” (2:1), menjadi “teladan kelakuan yang baik dalam segala perkara”, bersikap “jujur dan bersungguh-sungguh”, serta “gunakanlah kata-kata bijak” (ayat 7-8). Hasilnya, Titus menjadi rakan, saudara dan rakan sepelayanannya (2 Korintus 2:13; 8:23)—dan mentor orang lain.
Ramai antara kita telah mendapat manfaat daripada mentor—seorang guru, jurulatih, datuk atau nenek, pemimpin muda-mudi, atau gembala. Mereka membimbing kita dengan pengetahuan, kebijaksanaan, dorongan dan iman mereka dalam Tuhan. Siapakah yang boleh mendapat manfaat daripada pelajaran rohani melalui perjalanan anda dengan Yesus?