Seorang wanita bersungut kepada pastornya bahawa terdapat banyak pengulangan dalam khutbahnya. “Mengapakah pastor berbuat demikian?” tanyanya. Pastor itu menjawab, “Manusia akan lupa.”
Banyak faktor yang menyebabkan kita terlupa seperti peralihan masa, peningkatan usia atau kesibukan. Kita terlupa akan kata laluan, nama orang, malah tempat meletak kereta. Suami saya berkata, “Terlalu banyak perkara yang disimpan dalam otakku. Aku harus memadamkan sesuatu sebelum dapat mengingati sesuatu yang baru.”
Pastor itu benar. Kita memerlukan peringatan supaya dapat mengingati apa yang telah dilakukan Tuhan bagi kita. Orang Israel mempunyai kecenderungan yang sama. Meskipun mereka menyaksikan banyak mukjizat, mereka masih memerlukan peringatan akan penjagaan Tuhan. Dalam Ulangan 8, Tuhan mengingatkan orang Israel bahawa Dia mengizinkan mereka mengalami kelaparan di padang gurun, tetapi kemudian menyediakan makanan yang luar biasa kepada mereka setiap hari, iaitu manna, dan menyediakan pakaian yang tidak menjadi usang. Dia memimpin mereka melalui padang gurun yang dihuni ular berbisa dan kala jengking, serta memberi mereka air dari batu. Mereka belajar tentang kerendahan hati ketika menyedari bahawa mereka perlu bergantung sepenuhnya kepada penjagaan dan penyediaan Tuhan (ayat 2–4, 15–18).
Tuhan “setia kepada mereka selama-lamanya” (Mazmur 100:5). Ketika kita mendapati diri kita lupa, marilah kita mengingati semula cara Tuhan menjawab doa kita, yang mengingatkan kita tentang kebaikan dan kesetiaan Tuhan akan janji-Nya.