Ketika memberikan penghormatan terakhir di majlis pengebumian Hendrik A. Lorentz, seorang saintis berbangsa Belanda, Albert Einstein tidak sedikit pun menyebut pertikaian saintifik mereka. Sebaliknya dia mengenang “kebaikan Lorentz yang berterusan”. Lorentz seorang ahli fizik yang disanjungi kerana sikapnya yang bersahaja dan dia memperlakukan semua orang dengan adil. “Semua orang senang mengikutnya kerana mereka berasa bahawa dia tidak pernah ingin mengawal orang, melainkan selalu mahu menolong orang” kata Einstein.
Lorentz menginspirasikan para saintis supaya mengetepikan prasangka politik dan bekerjasama terutamanya setelah Perang Dunia I. “Bahkan sebelum perang berakhir” kata Einstein tentang rakannya yang juga merupakan pemenang Hadiah Nobel. “[Lorentz] mengabdikan dirinya untuk perdamaian.”
Melakukan tugas perdamaian sepatutnya menjadi tujuan bagi semua orang di gereja. Memang benar beberapa konflik tidak dapat dielakkan. Tetapi kita harus melakukan tugas kita untuk mencapai penyelesaian yang aman. Paulus menulis, “Janganlah marah sepanjang hari” (Efesus 4:26). Untuk bertumbuh bersama, dia menasihatkan, “Janganlah gunakan kata-kata kotor dalam percakapan kamu. Gunakanlah kata-kata yang membina dan memberikan pertolongan” (ayat 29).
Akhirnya, Paulus berkata, “Janganlah berdengki, geram, dan marah. Jangan lagi bertengkar dan memfitnah orang. Jangan lagi benci sesiapa pun. Sebaliknya, hendaklah kamu baik hati, saling berbelas kasihan, dan saling mengampuni sebagaimana Allah telah mengampuni kamu melalui Kristus” (ayat 31–32). Mari kita berusaha untuk berpaling daripada konflik kerana ini dapat membina jemaah Tuhan. Dengan ini, kita memuliakan Dia.
ILHAM
Sebagai orang percaya dalam Kristus, Paulus menggalakkan kita supaya mengamalkan kehidupan yang berbeza daripada orang yang tidak percaya kepada Yesus. Kehidupan kita seharusnya suci—mengabdikan diri kepada Tuhan (Efesus 4:20-24). Percakapan kita harus benar, membantu, membina dan memberikan pertolongan serta mendatangkan kebaikan kepada orang lain (ayat 25, 29). Melalui kuasa Roh Kudus dalam kita, kita boleh membuang kata-kata kasar, kotor, kedengkian, kemarahan, kegeraman atau pemfitnahan (ayat 29-31). Cara kita mengampuni orang lain adalah sifat penting bagi orang yang percaya kepada Yesus. Kita seharusnya mengampuni orang lain sebagaimana Tuhan telah mengampuni kita (ayat 32; Kolose 3:13). Bukti yang menunjukkan kita diampuni oleh Bapa adalah masa kita sudi mengampuni orang lain. Orang percaya dalam Yesus yang diampuni merupakan orang yang mengampuni orang lain (Matius 18:21-35; Lukas 7:36-50).Layarilah ChristianUniversity.org/ML502 (bahasa Inggeris) untuk mempelajari cara bagi menghadapi konflik.