Ketika memberikan penghormatan terakhir di majlis pengebumian Hendrik A. Lorentz, seorang saintis berbangsa Belanda, Albert Einstein tidak sedikit pun menyebut pertikaian saintifik mereka. Sebaliknya dia mengenang “kebaikan Lorentz yang berterusan”. Lorentz seorang ahli fizik yang disanjungi kerana sikapnya yang bersahaja dan dia memperlakukan semua orang dengan adil. “Semua orang senang mengikutnya kerana mereka berasa bahawa dia tidak pernah ingin mengawal orang, melainkan selalu mahu menolong orang” kata Einstein.

Lorentz menginspirasikan para saintis supaya mengetepikan prasangka politik dan bekerjasama terutamanya setelah Perang Dunia I. “Bahkan sebelum perang berakhir” kata Einstein tentang rakannya yang juga merupakan pemenang Hadiah Nobel. “[Lorentz] mengabdikan dirinya untuk perdamaian.”

Melakukan tugas perdamaian sepatutnya menjadi tujuan bagi semua orang di gereja. Memang benar beberapa konflik tidak dapat dielakkan. Tetapi kita harus melakukan tugas kita untuk mencapai penyelesaian yang aman. Paulus menulis, “Janganlah marah sepanjang hari” (Efesus 4:26). Untuk bertumbuh bersama, dia menasihatkan, “Janganlah gunakan kata-kata kotor dalam percakapan kamu. Gunakanlah kata-kata yang membina dan memberikan pertolongan” (ayat 29).

Akhirnya, Paulus berkata, “Janganlah berdengki, geram, dan marah. Jangan lagi bertengkar dan memfitnah orang. Jangan lagi benci sesiapa pun. Sebaliknya, hendaklah kamu baik hati, saling berbelas kasihan, dan saling mengampuni sebagaimana Allah telah mengampuni kamu melalui Kristus” (ayat 31–32). Mari kita berusaha untuk berpaling daripada konflik kerana ini dapat membina jemaah Tuhan. Dengan ini, kita memuliakan Dia.