John Harper tidak tahu apa yang bakal terjadi ketika dia dan anak perempuannya yang berumur 6 tahun menaiki kapal Titanic. Tetapi satu hal yang dia tahu: dia mengasihi Yesus dan dia sangat menginginkan orang lain juga mengenal-Nya. Sejurus selepas kapal itu melanggar aisberg dan air mula memasukinya, Harper, seorang duda meletakkan anaknya ke dalam bot keselamatan dan bergegas untuk menyelamatkan seramai orang yang mungkin. Ketika mengagihkan jaket keselamatan, dia berteriak, “Biar wanita, kanak-kanak dan yang belum percaya kepada Yesus masuk ke dalam bot keselamatan.” Harper berkongsi tentang Yesus kepada sesiapa sahaja di sekelilingnya sehingga nafas terakhirnya. Dia rela mengorbankan nyawanya demi orang lain.

Ada seorang Peribadi yang rela menyerahkan nyawa-Nya pada 2000 tahun yang lalu, supaya anda dan saya boleh hidup bukan hanya dalam kehidupan ini tetapi untuk selama-lamanya. Yesus tidak secara tiba-tiba memutuskan bahawa Dia akan menanggung hukuman mati atas dosa umat manusia. Ini adalah misi hidup-Nya. Ketika berbicara dengan guru Taurat, Dia berulang kali mengatakan “Aku mengorbankan nyawa” (Yohanes 10:11, 15, 17, 18). Dia bukan saja-saja mengucapkan kata-kata ini, melainkan menunjukkannya dengan mati secara mengerikan pada kayu salib. Dia datang supaya orang Farisi, John Harper dan kita “mendapat hidup, iaitu hidup yang kelimpahan” (ayat 10).