Ketika sebuah bank tersilap memasukkan wang sebanyak $120,000 ke dalam akaun sepasang suami isteri, mereka menghabiskan wang tersebut dengan membeli-belah. Mereka membeli sebuah kereta SUV, sebuah karavan, dan dua pacuan kenderaan empat roda di samping melangsaikan semua hutang. Setelah menyedari kesilapan tersebut, bank itu pun meminta pasangan suami isteri itu mengembalikan wang. Tetapi malangnya, pasangan itu sudah habis membelanjakannya. Kemudian mereka pun didakwa atas kesalahan melakukan pencurian feloni. Ketika pasangan itu sampai ke mahkamah rendah, suami itu berkata kepada wartawan, “Kami telah mendapatkan nasihat undang-undang yang buruk.” Pasangan suami isteri itu kemudiannya menyedari bahawa menuruti nasihat yang buruk itu (dan membelanjakan apa yang bukan kepunyaan mereka) boleh membawa kesan buruk ke atas hidup mereka.

Sebaliknya, pemazmur berkongsi nasihat yang bijaksana yang boleh membantu kita daripada memporak-perandakan hidup kita. Dia menuliskan bahawa sesiapa yang memperoleh kepuasan yang sejati—yang “diberkati””—enggan dipengaruhi oleh nasihat orang jahat (Mazmur 1:1). Mereka tahu bahawa nasihat orang yang tidak berhikmat, tidak salih boleh mendatangkan bahaya yang tidak kelihatan dan akibat yang amat dahsyat. Mereka juga dimotivasikan dengan (suka “mentaati”) dan begitu asyik (“merenungkan”) Alkitab yang tidak pernah berubah dan juga tidak pernah goyah (ayat 2). Mereka tahu bahawa berserah kepada pimpinan Tuhan membawa kepada keteguhan dan membuahkan hasil (ayat 3).

Ketika kita membuat keputusan yang besar atau kecil, mengenai kerjaya, wang, hubungan, dan sebagainya, kita boleh mencari hikmat Tuhan yang dapat ditemukan dalam Alkitab, nasihat yang datang daripada Tuhan dan juga pimpinan Roh Kudus. Pimpinan-Nya adalah amat penting dan dapat dipercayai untuk menjalani kehidupan yang memuaskan tanpa menimbulkan kekacauan.