Ketika pemain quarterback (pemain yang menyerang) daripada pasukan Philadelphia Eagle, Carson Wentz kembali ke padang selepas sembuh daripada kecederaan yang teruk, pemain quarterback gantian dalam kumpulan Liga Bola Sepak Amerika (NFL), iaitu Nick Foles dengan relanya kembali ke bangku simpanan. Walaupun bersaing untuk posisi yang sama, kedua-dua orang itu memilih untuk menyokong satu sama lain dan tetap yakin dalam peranan masing-masing. Seorang pemberita melihat bahawa kedua-dua atlet itu memiliki “hubungan unik yang berakar dalam iman mereka kepada Kristus.” Ini ditunjukkan melalui doa mereka yang berterusan untuk satu sama lain. Melalui hal itu, mereka memuliakan nama Tuhan dengan mengingati bahawa mereka berada dalam kumpulan yang sama—bukan hanya sebagai quarterback Eagles, melainkan orang yang percaya kepada Yesus serta duta bagi-Nya.

Rasul Paulus mengingatkan orang percaya supaya menantikan kedatangan Yesus dengan menjadi “orang yang hidup dalam cahaya” (1 Tesalonika 5:5–6). Dengan harapan kita yang pasti dalam keselamatan yang disediakan oleh Yesus, kita boleh mengelakkan sebarang cubaan untuk bersaing yang disebabkan oleh kecemburuan, perasaan tidak selamat, ketakutan, atau iri hati. Sebaliknya, kita boleh “saling menggalakkan dan saling menguatkan” (ayat 11). Kita boleh menghormati pemimpin rohani yang menghormati Tuhan dan “hidup rukun” sementara kita melayani bersama-sama untuk menyempurnakan tujuan kita yang sama—menyebarkan Injil dan mendorong orang lain untuk hidup bagi Yesus (ayat 12–15).

Ketika kita melayani bersama-sama dalam pasukan yang sama, marilah kita mentaati perintah Paulus: “Hendaklah kamu sentiasa bersukacita, dan berdoalah sentiasa. Hendaklah kamu bersyukur dalam segala keadaan, kerana hal inilah yang dikehendaki oleh Allah daripada kamu sebagai orang yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus” (ayat 16–18).