Selama bertahun-tahun, Deepika memikul beban berat akan rasa bersalah disebabkan oleh caranya memperlakukan adik perempuannya sewaktu mereka masih kecil. Walaupun dia sudah meminta maaf dan menerima pengampunan adiknya, dia masih berasa bersalah.

Yesaya 6:1-5 merekodkan bagaimana Yesaya mendapat penglihatan akan Tuhan dan berjaya mengalahkan rasa bersalahnya ke atas dosanya. Tetapi ketika bara dari mazbah menyentuh bibirnya, dia pun mendengar kata-kata yang menghiburkan: “Kesalahanmu sudah dihapuskan” (ayat 7). Bara di Rumah TUHAN biasanya ditutupi oleh darah domba yang baru sahaja disembelih, ini menggambarkan pengorbanan Yesus. Ketika Domba Tuhan mati pada kayu salib, dosa dan kesalahan kita dipindahkan kepada-Nya (1 Petrus 2:24).

Kita bersalah apabila kita melakukan jenayah atau berdosa, maka kita patut dikenakan hukuman. Ini disusuli oleh perasaan bersalah. Orang Kristian yang salih sekalipun bergelut dengan perasaan ini apabila mereka melakukan sesuatu yang salah.

Perasaan bersalah adalah sesuatu yang sihat apabila ia menyedarkan dan memimpin kita kepada pertaubatan. Tetapi jika kita tetap berasa bersalah setelah diampuni, ini akan merampas kebebasan kita. Keindahan dalam kebenaran Injil ialah Kristus menghapuskan kesalahan kita, supaya kita boleh bebas sepenuhnya daripada beban rasa bersalah. Marilah bersukacita kerana Yesus, kita tidak lagi perlu berasa bersalah atau malu. Kita telah diampuni!