Pada abad ke-27 SM, pemerintah Roma, iaitu Octavian datang ke Dewan Senat untuk meletakkan kuasanya. Dia telah memenangi perang saudara, menjadi satu-satunya penguasa bagi kawasan benua itu, dan berfungsi seperti seorang maharaja. Tetapi dia tahu ramai orang berasa sangsi terhadap kuasanya. Maka Octavian melepaskan kuasanya di Dewan Senat, dan bersumpah untuk hanya menjadi seorang pegawai biasa. Apakah respons mereka? Dewan Senat Roma itu memberikan penghargaan kepadanya dengan memahkotainya dengan sebuah mahkota sivik dan menggelarnya sebagai hamba masyarakat Roma. Dia juga diberikan nama Augustus—”yang agung”.
Paulus menuliskan tentang Yesus yang mengosongkan diri-Nya dan mengambil rupa sebagai seorang hamba. Augustus nampaknya melakukan perkara yang sama. Atau adakah dia telah melakukannya? Augustus hanya berpura-pura bahawa dia telah melepaskan kuasanya, tetapi semua yang dilakukannya adalah untuk kepentingan diri. Yesus “merendahkan diri dan hidup dengan taat kepada Allah sehingga mati—iaitu mati di atas salib” (Filipi 2:8). Kematian di atas kayu salib Romawi merupakan bentuk penghinaan dan kutukan yang paling teruk.
Pada hari ini, Yesus merupakan sebab utama orang memuji “kepimpinan yang berjiwa hamba” sebagai sifat baik. Kerendahan hati bukan sikap baik yang didukung oleh orang Yunani ataupun orang Roma. Oleh sebab Yesus mati pada kayu salib bagi kita, Dia merupakan Hamba yang sebenar. Dialah Penyelamat yang sebenar.
Kristus menjadi hamba untuk menyelamatkan kita. Dia “rela melepaskan segala-galanya” (ayat 7) supaya kita dapat menerima sesuatu yang amat besar—anugerah keselamatan dan hidup kekal.
ILHAM
Dalam Filipi 2, Paulus menggunakan perkataan “merendahkan diri” untuk menyebut tentang kematian Yesus (ayat 8). Meskipun Yesus datang dalam rupa manusia adalah satu tindakan kerendahan hati, kematian-Nya adalah puncak “kerendahan hati” bagi Peribadi kedua dalam Tritunggal, yang abadi dan kekal.Paulus mengatakan bahawa Yesus “merendahkan diri-Nya” (ayat 8). Yesus tidak direndahkan oleh kematian; Dia secara sukarela merendahkan diri-Nya sendiri dalam ketaatan supaya Dia dapat mati. Oleh sebab Dia merendahkan diri-Nya, Tuhan mengembalikan-Nya ke kedudukan asal-Nya yang terhormat. “Semua makhluk di syurga, dan di bumi, dan di bawah bumi akan sujud menyembah Dia” (ayat 10).