Inilah satu perbualan yang tidak perlu wujud antara Maria dan Yusuf ketika mereka menantikan kelahiran bayi yang ada dalam kandungannya: “Yusuf, siapakah nama yang patut kita berikan kepada bayi ini?” Tidak seperti kebanyakan orang yang menantikan kelahiran anak, mereka tidak mempunyai masalah dalam menamakan anak ini.

Malaikat-malaikat yang datang melawat Maria dan kemudiannya Yusuf memberitahu kepada mereka berdua bahawa nama bayi itu ialah Yesus (Matius 1:20–21; Lukas 1:30–31). Malaikat yang muncul kepada Yusuf menjelaskan bahawa nama bayi ini bermaksud Dia akan “menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.”

Dia juga akan dipanggil sebagai “Imanuel” (Yesaya 7:14), yang bererti “Allah menyertai kita,” kerana Dialah Tuhan yang datang dalam rupa manusia—Tuhan yang dibedung dengan pakaian. Nabi Yesaya menyatakan gelaran yang lain iaitu “Penasihat Bijaksana,” “Allah Perkasa,” “Bapa Kekal,” dan “Raja Damai” (9:5), kerana kesemua ini ialah identiti-Nya.

Inilah sesuatu yang menggembirakan apabila menamakan seorang bayi. Tetapi tiada bayi lain mempunyai nama yang begitu berkuasa, mengujakan, mengubahkan dunia seperti “Yesus, yang disebut Kristus” (Matius 1:16). Sungguh menggembirakan bagi kita untuk dapat memanggil nama “Tuhan kita Yesus Kristus” (1 Korintus1:2)! “Tiada orang lain yang mendapat kekuasaan daripada Allah untuk menyelamatkan kita” (Kisah Rasul-Rasul 4:12).

Marilah menyembah Yesus dan merenungkan maksud Yesus bagi kita pada musim perayaan Krismas ini!