Pada awal pelayanannya selama 50 tahun di Cambridge, England, Charles Simeon (1759-1836) bertemu dengan seorang pastor yang tinggal berdekatan, iaitu Henry Venn dan anak-anak perempuannya. Selepas itu, anak-anak perempuan Henry Venn berkata bahawa Charles Simeon kelihatan seorang yang garang dan angkuh. Oleh itu, Venn meminta mereka pergi memetik sebiji pic. Ketika mereka tertanya-tanya sebab ayah menginginkan buah yang belum matang, dia menjawab, “Anak-anak, buah itu masih hijau dan kita mesti tunggu. Ia memerlukan sedikit lagi cahaya matahari dan air, dan buah pic itu akan menjadi masak dan manis. Begitu juga dengan Encik Simeon.”
Selepas bertahun-tahun, hati Simeon dilembutkan melalui rahmat Tuhan yang mengubah hidup. Komitmennya untuk membaca Alkitab dan berdoa setiap hari telah membawa perubahan itu. Seorang rakan yang pernah tinggal bersama Simeon menyaksikannya dan berkata, “Inilah rahsia rahmat dan kekuatan rohani yang luar biasa.”
Setiap hari, Simeon mengikut praktik nabi Yeremia dengan setia mendengarkan firman Tuhan. Yeremia sangat bergantung pada firman-Nya sehingga dia berkata, “ Ketika kudapati firman-Mu, aku menikmatinya.” Dia merenungkan dan mengunyah kata-kata Tuhan, yang merupakan “kegirangan” dan “kesukaan” hatinya (Yeremia 15:16, AVB).
Sekiranya kita serupa dengan buah hijau yang masam, kita boleh mempercayai Tuhan akan melembutkan hati kita melalui Roh Kudus apabila kita mengenal Dia melalui pembacaan Alkitab dan mentaatinya.
ILHAM
Dalam Yeremia 15:15-18, beberapa metafora dengan jelasnya menyatakan pengalaman Yeremia dipanggil untuk menjadi seorang nabi. Dalam ayat 16, dia menggunakan metafora “menikmati (ATB)” untuk menyampaikan idea tentang menerima dan menghayati firman Tuhan sepenuhnya. Sesetengah cendekiawan Alkitab menyatakan bahawa “sebab nama-Mu telah diserukan atasku” (ATB) dalam konteks ini mungkin merujuk kepada nama keluarga disebabkan oleh perkahwinan. Tambahan pula, perkataan kegembiraan dan kesukaan dalam bahagian Yeremia yang lain selalunya berkaitan dengan pesta perkahwinan (7:34; 16:9; 25:10; 33:11).Dalam Yeremia 15:18, nabi itu menggunakan metafora sungai untuk menggambarkan kebingungannya terhadap perbezaan ketara antara keintiman mula-mula dengan Tuhan dan kesengsaraannya sekarang. Sungai begini biasanya telah kering pada musim panas dan tidak boleh dianggap sebagai sumber air. Melalui cara ini, Yeremia dengan jelas merasakan pengkhianatan yang besar apabila mengalami Tuhan sebegini, dan bukan “sumber air pemberi hidup” kekal seperti yang dikatakan diri-Nya (2:13). Monica La Rose
Untuk mengetahui bagaimana geografi Tanah Suci membantu kita lebih memahami Alkitab, kunjungi ChristianUniversity.org/NT110 (bahasa Inggeris).