Semasa saya beratur untuk mengambil sarapan bufet di sebuah pusat persidangan Kristian, sekumpulan wanita memasuki dewan makan. Saya tersenyum dan bertanya khabar kepada seorang wanita yang beratur di belakang saya. Dia membalas salam dan berkata, “Saya kenal kamu.” Kami masing-masing cuba mengingat tempat kami pernah bertemu sambil menyenduk telur goreng ke dalam pinggan kami. Saya berfikir mungkin dia tersalah anggap orang.

Ketika kami kembali untuk makan tengah hari, wanita itu menghampiri saya. “Adakah kamu memandu kereta putih?”

Saya mengangkat bahu dan berkata, “Ya, beberapa tahun yang lalu.”

Dia ketawa. “Kereta kita berhenti di lampu isyarat yang sama berdekatan sekolah rendah hampir setiap pagi,” katanya. “Kamu selalu angkat tangan dan nyanyi dengan gembira. Saya fikir kamu sedang menyembah Tuhan. Itu membuat saya ingin ikut serta walaupun pada hari-hari yang sukar.”

Kemudian, kami memuji Tuhan, berdoa, berpelukan dan menikmati makan tengah hari bersama.

Dia berkata bahawa orang memerhatikan sikap pengikut Yesus walaupun kita tidak menyedarinya. Ketika kita menerapkan gaya hidup penyembahan yang penuh sukacita, kita dapat menghadap Pencipta kita pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Dengan mengakui kasih dan kesetiaan-Nya yang kekal, kita dapat menikmati hubungan yang intim dengan Dia dan bersyukur atas penjagaan-Nya yang berterusan (Mazmur 100). Tidak kira kita menyanyikan pujian, berdoa atau menyebarkan kasih Tuhan melalui perbuatan baik, kita dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk memuji nama-Nya (ayat 4). Penyembahan kepada Tuhan bukan semata-mata pada waktu kebaktian.