Baru-baru ini, kereta saya perlu dibaiki. Bengkel kereta tidak jauh dari rumah saya, jadi saya pulang dengan berjalan kaki. Tetapi ketika saya berjalan di tepi jalan raya yang sibuk, saya menyedari bahawa semua kenderaan bergerak dengan begitu pantas.

Kereta memanglah bergerak lebih pantas daripada pejalan kaki. Semasa pulang ke rumah dengan perlahan-lahan, saya menyedari bahawa kita sudah terbiasa dengan bergerak pantas setiap masa. Kemudian saya juga mendapati bahawa saya sering mengharapkan Tuhan bertindak cepat. Saya mahu rancangan-Nya berjalan sesuai dengan jadual saya yang pantas.

Semasa Yesus hidup di bumi, pergerakan-Nya yang kelihatan perlahan kadangkala mengecewakan rakan-rakan-Nya. Dalam Yohanes 11, Maria dan Marta mengirim berita bahawa saudara mereka, Lazarus sakit tenat. Mereka tahu bahawa Yesus dapat menyembuhkannya (ayat 1-3). Tetapi Yesus tiba di tempat itu 4 hari (ayat 17) setelah Lazarus meninggal. “Marta berkata kepada Yesus, ‘Ya Tuhan, jika Tuhan di sini pada masa itu, tentu saudaraku masih hidup’ ” (ayat 21). Dengan kata lain: Yesus tidak bergerak dengan pantas. Tetapi Dia mempunyai rancangan yang lebih besar, iaitu membangkitkan Lazarus daripada kematian (ayat 38-44).

Bolehkah anda memahami keputusasaan Marta? Saya boleh. Ada kalanya saya mahu Yesus bergerak dengan lebih pantas untuk menjawab doa. Kadangkala Dia kelihatan lambat bertindak. Tetapi jadual Yesus yang termulia berbeza daripada jadual kita. Dia menyelesaikan pekerjaan penyelamatan-Nya mengikut waktu-Nya, bukan waktu kita. Hasilnya menunjukkan bahawa kemuliaan dan kebaikan-Nya jauh lebih besar daripada rancangan kita.