Semasa Dylan McCoy berusia 3 tahun dan baru belajar berenang, dia terjatuh menembusi papan lapis reput yang menutupi perigi sedalam 12 meter di halaman belakang rumah datuknya. Dylan dapat tetap terapung di atas permukaan air perigi yang sedalam 3 meter sehingga bapanya turun untuk menyelamatkannya. Anggota bomba membawa tali untuk menariknya keluar tetapi ayahnya terlalu risau sehingga dia sanggup menuruni perigi berbatu yang licin untuk memastikan dia selamat.
Begitu dalamnya kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak mereka!
Ketika rasul Yohanes menulis kepada orang percaya di gereja awal yang bergelut dalam dasar iman mereka ketika berhadapan dengan ajaran palsu, dia menyampaikan kata-kata ini bagai pelampung: “Ketahuilah bahawa Allah Bapa sangat mengasihi kita! Dia amat mengasihi kita, sehingga kita diakui sebagai anak-anak Allah dan memang kita anak-anak Allah” (1 Yohanes 3:1). Orang Kristian dipanggil sebagai “anak-anak” Tuhan, inilah label yang akrab dan sah bagi semua orang yang percaya kepada-Nya.
Betapa tinggi dan dalamnya kasih Tuhan terhadap anak-anak-Nya!
Ibu bapa sanggup melakukan sesuatu demi anak-anak mereka seperti ayah Dylan yang sanggup turun ke perigi untuk menyelamatkan anaknya. Demikianlah tindakan Bapa Syurgawi yang penuh kasih yang mengutus anak tunggal-Nya untuk menebus kita supaya kita dapat mendekati-nya (ayat 5-6).