“Taps” adalah panggilan trompet yang dimainkan oleh tentera Amerika Syarikat pada penghujung hari dan hari pengebumian. Saya kagum ketika membaca lirik lagu yang tidak rasmi dan mendapati banyak ayat diakhiri dengan ungkapan “God is nigh” (Tuhan itu dekat). Sama ada sebelum setiap malam menjelang atau ketika berkabung kerana kehilangan orang yang disayangi, lirik itu memberi jaminan yang indah kepada para tentera bahawa Tuhan itu dekat.
Dalam Perjanjian Lama, trompet juga mengingatkan orang Israel bahawa Tuhan itu dekat. Di tengah-tengah perayaan yang merupakan sebahagian perjanjian antara Tuhan dan bangsa Israel, orang Yahudi harus membunyikan trompet (Bilangan 10:10). Peniupan trompet bukan sahaja satu peringatan tentang hadirat Tuhan, malah Dia hadir ketika mereka sangat memerlukan-Nya. Tuhan rindu untuk menolong mereka.
Hari ini, kita masih memerlukan peringatan bahawa Tuhan dekat dengan kita. Ketika kita menyembah Tuhan, kita juga boleh memanggil Tuhan melalui doa dan nyanyian. Mungkin doa kita boleh dianggap sebagai bunyi trompet yang memohon Tuhan menolong kita. Inilah dorongan yang indah bahawa Tuhan selalu mendengar doa mereka (1 Petrus 3:12). Untuk setiap permohonan kita, Dia membalas dengan jaminan hadirat-Nya yang menguatkan serta menenangkan kita dalam kesukaran dan penderitaan hidup.
ILHAM
Gambaran tentang trompet dalam Bilangan 10:1-10 menandakan peralihan penting bagi orang Israel. Setelah menghabiskan sebelas bulan untuk berkhemah di Gunung Sinai, tempat mereka menerima arahan dan perintah daripada Tuhan, mereka kini mesti meneruskan perjalanan mereka ke Kanaan, tanah yang dijanjikan Tuhan kepada Abraham untuk keturunannya (Kejadian 17:8). Mereka mesti menggunakan trompet untuk memanggil “umat Israel berkumpul dan untuk menyuruh mereka berangkat” (Bilangan 10:2).Sepanjang sejarah Israel, trompet dan alat-alat lain, seperti tanduk haiwan, telah digunakan untuk berbagai-bagai perkara: untuk menandakan pergerakan, dalam pertempuran, untuk memanggil orang Israel berkumpul, dan menandakan perayaan. Contohnya, trompet digunakan ketika orang Israel mengalihkan Tabut Perjanjian (1 Tawarikh 13:7-8; 15:24) dan semasa mereka menyucikan Rumah Tuhan (2 Tawarikh 5:12-13; 29:26). Tabut Perjanjian dan Rumah Tuhan adalah tempat Tuhan tinggal dan bertemu dengan imam-imam Israel, dan tempat Dia berbicara dengan umat-Nya.