“Kadangkala aku berasa diriku tidak penting. Tapi aku sangat rindu agar Tuhan memakaiku,” kata Ann semasa dia sedang membersihkan bilik gim di hotel penginapan saya. Saya mendapati bahawa dia mempunyai kisah yang luar biasa.

“Dulu aku seorang penagih dadah dan pelacur di jalanan. Tetapi aku tahu Tuhan mahu agar aku membuang ketagihan itu dan mengikut Dia. Pada suatu hari, aku berlutut di hadapan Yesus dan Dia membebaskan aku,” katanya.

Saya berterima kasih kepada Ann kerana berkongsi tentang perbuatan Tuhan dalam hidupnya dan meyakinkannya bahawa dia bukannya tidak penting. Tuhan telah memakai Ann melalui perbualan kami dengan cara yang indah untuk mengingatkan saya akan kuasa-Nya yang mampu mengubah kehidupan.

Tuhan rindu memakai seseorang yang mungkin terlepas perhatian orang lain. Rasul Andreas tidak terkenal seperti saudaranya Petrus, tetapi Alkitab menceritakan bahawa “dengan segera Andreas mencari Simon, saudaranya dan berkata kepadanya, ‘Kami sudah berjumpa dengan Mesias!’ … Kemudian Andreas membawa Simon kepada Yesus” (Yohanes 1:41–42).

Petrus menemui Yesus melalui Andreas. Ketika Andreas merupakan salah seorang pengikut Yohanes Pembaptis, dia mengenal Yesus melalui Yohanes, maka dia mengikut Yesus dan percaya kepada-Nya. Kemudian dia segera memberitahu saudaranya. Kesetiaan Andreas yang tidak menonjol membawa kesan yang menggegarkan dunia.

Tuhan lebih menghargai pelayanan yang setia daripada kemasyhuran. Dia dapat memakai kita di mana sahaja kita berada walaupun tiada orang yang memperhatikan kita.