“Kadangkala aku berasa diriku tidak penting. Tapi aku sangat rindu agar Tuhan memakaiku,” kata Ann semasa dia sedang membersihkan bilik gim di hotel penginapan saya. Saya mendapati bahawa dia mempunyai kisah yang luar biasa.
“Dulu aku seorang penagih dadah dan pelacur di jalanan. Tetapi aku tahu Tuhan mahu agar aku membuang ketagihan itu dan mengikut Dia. Pada suatu hari, aku berlutut di hadapan Yesus dan Dia membebaskan aku,” katanya.
Saya berterima kasih kepada Ann kerana berkongsi tentang perbuatan Tuhan dalam hidupnya dan meyakinkannya bahawa dia bukannya tidak penting. Tuhan telah memakai Ann melalui perbualan kami dengan cara yang indah untuk mengingatkan saya akan kuasa-Nya yang mampu mengubah kehidupan.
Tuhan rindu memakai seseorang yang mungkin terlepas perhatian orang lain. Rasul Andreas tidak terkenal seperti saudaranya Petrus, tetapi Alkitab menceritakan bahawa “dengan segera Andreas mencari Simon, saudaranya dan berkata kepadanya, ‘Kami sudah berjumpa dengan Mesias!’ … Kemudian Andreas membawa Simon kepada Yesus” (Yohanes 1:41–42).
Petrus menemui Yesus melalui Andreas. Ketika Andreas merupakan salah seorang pengikut Yohanes Pembaptis, dia mengenal Yesus melalui Yohanes, maka dia mengikut Yesus dan percaya kepada-Nya. Kemudian dia segera memberitahu saudaranya. Kesetiaan Andreas yang tidak menonjol membawa kesan yang menggegarkan dunia.
Tuhan lebih menghargai pelayanan yang setia daripada kemasyhuran. Dia dapat memakai kita di mana sahaja kita berada walaupun tiada orang yang memperhatikan kita.
ILHAM
Istilah “Anak Domba Allah” adalah unik kepada Yohanes. Ada 2 kali dalam Yohanes 1, Yohanes Pembaptis memanggil Yesus “Anak Domba Allah” (ayat 29, 36). Ayat 29 meliputi gambaran “yang menghapus dosa dunia!” Ini merujuk kepada korban untuk mengampunkan dosa yang ditentukan dalam taurat Musa (lihat Imamat 4), dan domba adalah salah satu jenis binatang yang digunakan sebagai korban.Ini bukan satu-satunya bahagian yang rasul Yohanes merujuk kepada Yesus sebagai domba. Dalam kitab Wahyu, Yesus digambarkan sebagai “Anak Domba yang sudah dibunuh” (5:12) dan Domba yang memecahkan meterai (6:1, 3,5,7). Darah Domba mengalahkan musuh (12:11), dan nama-nama mereka yang percaya kepada Kristus telah tercatat dalam Kitab Orang Hidup Anak Domba (13:8).