Pada suatu hari cuti, selepas menikmati makan malam di rumah saya, semua orang masing-masing membuka hadiah parti yang penuh dengan gula-gula, mainan kecil dan cebisan kertas yang berwarna-warni. Tetapi terdapat sesuatu yang istimewa dalam hadiah itu—mahkota kertas untuk setiap orang. Kami tidak sabar untuk memakainya dan saling tersenyum sambil duduk di meja. Hanya dalam masa yang singkat kami menjadi raja dan permaisuri walaupun kerajaan kami adalah ruang makan yang penuh dengan sisa makanan.
Ini merangsangkan ingatan tentang janji dalam Alkitab yang jarang saya fikirkan. Pada suatu hari kelak, semua orang percaya akan berkongsi kuasa untuk memerintah bersama dengan Yesus. Paulus menyebutkan hal ini dalam 1 Korintus 6, “umat Allah akan mengadili dunia ini!” (ayat 2). Paulus merujuk kepada hak yang istimewa ini kerana dia ingin memberi inspirasi kepada orang percaya untuk menyelesaikan perselisihan secara damai di dunia. Ini kerana mereka saling menyaman dan merosakkan reputasi orang percaya lain dalam komuniti mereka.
Kita menjadi lebih bijak untuk menyelesaikan konflik kerana Roh Kudus membuat kita memiliki pengawalan diri, sifat lemah lembut dan kesabaran. Pada saat Yesus kembali ke dunia dan melengkapkan pekerjaan Roh dalam hidup kita (1 Yohanes 3:2–3), kita akan bersiap sedia untuk tugas kita sebagai “imam yang mengabdi kepada Allah kita, dan memerintah di dunia” (Wahyu 5:10). Marilah kita berpegang pada janji yang terserlah dalam Alkitab umpama berlian pada mahkota emas.