Kedudukan awan yang rendah telah menyelubungi kaki langit dan mengehadkan jarak penglihatan kepada beberapa ratus meter. Masa semakin berlalu dan saya semakin hilang semangat. Tetapi ketika petang menjelang, awan mula berkurang dan saya dapat melihat Puncak Peak yang indah. Ia merupakan tanda tempat di kota saya yang paling terkenal, dan dikelilingi oleh banjaran gunung. Senyuman terukir di wajah saya. Saya dapat memahami bahawa penglihatan fizikal kita boleh memepengaruhi penglihatan rohani kita. Ini juga mengingatkan saya tentang nyanyian si pemazmur, “Aku memandang ke arah pergunungan” (Mazmur 121:1). Ada kalanya kita hanya perlu mengangkat mata kita!
Pemazmur merenungkan sumber pertolongannya, mungkin kerana puncak bukit di sekitar Israel ada banyak mazbah berhala dan selalu ada perompak. Atau mungkin kerana pemazmur melihat melangkaui bukit ke arah Bukit Sion, tempat mazbah Tuhan dibina dan dia mengingati bahawa Pencipta langit dan bumi adalah Tuhannya yang mengikat perjanjian (ayat 2). Cara kita menyembah mesti memandang ke atas. Kita harus melihat melangkaui keadaan, masalah dan cubaan yang kita hadapi, dan bukannya janji kosong daripada dewa-dewa palsu zaman kita. Kemudian kita dapat melihat Pencipta dan Penebus yang memanggil nama kita. Dialah TUHAN yang “akan melindungi kamu ketika kamu pergi dan balik, dari sekarang hingga selama-lamanya” (ayat 8).
Bagaimanakah anda dapat “mengangkat mata anda” yang melangkaui keadaan untuk melihat Tuhan pada hari ini? Apakah yang akan berlaku apabila anda memohon pertolongan Tuhan?
Bapa yang dikasihi, aku bersyukur kerana Engkau adalah Pencipta langit dan bumi serta Penjaga kehidupanku. Tolong aku tetap menumpukan pandanganku ke arah-Mu dan meletakkan kepercayaan dalam-Mu.
Mazmur 121 merupakan mazmur yang kedua antara 15 “lagu ziarah” (Mazmur 120-134) yang dinyanyikan oleh penziarah Yahudi dalam perjalanan ke Yerusalem untuk tiga perayaan besar setiap tahun (Ulangan 16:16): Perayaan Roti Tidak Beragi (Paska), Perayaan Menuai (menuai hasil pertama gandum), dan Perayaan Pondok Daun. Oleh itu, mereka mempercayakan diri mereka kepada Tuhan supaya mendapat perlindungan daripada bahaya dan kesusahan dalam perjalanan. Oleh sebab mereka berjalan kaki sepanjang perjalanan, Mazmur 121:3 menyatakan perlindungan Tuhan supaya mereka tidak terjatuh sepanjang jalan. Oleh sebab kebanyakan perjalanan dengan berjalan kaki ini mengambil masa beberapa hari, umat itu tahu bahawa ketika mereka tidur sepanjang perjalanan, mereka mungkin berhadapan dengan situasi berbahaya (binatang liar, perompak), Tuhan mereka tidak tidur, melainkan berprihatin terhadap keperluan mereka (ayat 3). Mereka menyanyikan pujian tentang perlindungan Tuhan sepanjang masa: “Pada waktu siang matahari tidak akan menyakiti kamu; pada waktu malam bulan tidak akan mencederakan kamu” (ayat 6). Inilah Tuhan yang mereka percaya dan akan menyembah setibanya di Yerusalem.
Bill Crowder