Malam musim sejuk itu terasa dingin ketika seseorang melemparkan batu besar ke tingkap bilik tidur kanak-kanak Yahudi. Ini disebabkan oleh hiasan bintang Daud serta menorah (kaki pelita yang bercabang tujuh) diletakkan di tepi tingkap untuk meraikan Hanukkah, iaitu Pesta Cahaya orang Yahudi. Di bandar kanak-kanak itu, Billings, Montana, beribu-ribu orang yang kebanyakannya orang Kristian memberi respons terhadap kebencian itu dengan belas kasihan. Mereka memahami kesakitan hati dan ketakutan jiran-jiran Yahudi, maka mereka turut menampal gambar menorah di tingkap mereka sendiri.
Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita juga mendapat belas kasihan yang besar. Penyelamat kita merendahkan diri untuk tinggal antara kita (Yohanes 1:14), turut merasakan kesukaran kita. “Sebenarnya Dia ilahi … Dia rela melepaskan segala-galanya lalu menjadi seperti seorang hamba” (Filipi 2:6–7), demi kita. Dia merasakan apa yang kita rasa dan menangis bersama dengan kita. Dia mati pada kayu salib dan mengorbankan nyawa-Nya untuk menyelamatkan kita.
Penyelamat kita memperhatikan segala kesusahan yang kita alami. Jika seseorang “melemparkan batu” ke dalam hidup kita, Dia memberi kita penghiburan. Jika kita mengalami kekecewaan, Dia berjalan bersama kita melewati keputusasaan. “Walaupun Engkau begitu agung, Engkau memperhatikan orang yang hina, dan orang sombong tidak dapat bersembunyi daripada-Mu” (Mazmur 138:6). Dia memelihara kita sewaktu kita menghadapi masalah serta menghulurkan tangan-Nya untuk menentang “musuhku yang ganas” (ayat 7) dan menghilangkan ketakutan kita yang paling dalam. Ya Tuhan, terima kasih atas belas kasihan-Mu.
ILHAM
Dalam Mazmur 138:4-5, Daud menyeru semua raja di bumi untuk memuji Tuhan. Sebab dia membuat panggilan ini: Tuhan setia dan kasih-Nya kekal dan Dia menjawab apabila umat-Nya berseru kepada-Nya (ayat 1-3); Dia memperhatikan orang “yang hina”; Dia menyelamatkan mereka yang ditimpa kesusahan (ayat 6-8).Seruan Daud kepada raja-raja di bumi dalam ayat-ayat 4-5 boleh dianggap sebagai seruan yang penuh harapan. Pada waktu Perjanjian Lama, raja-raja (di luar Israel) tidak memuji Tuhan. Mereka selalu memberontak dan menentang-Nya (lihat Mazmur 2 dan 48). Namun, dalam Wahyu, harapan Daud digenapi apabila raja-raja di bumi membawa kekayaan mereka ke Yerusalem Baru (Wahyu 21:24).