“Jangan guna lebuh raya!” Mesej daripada anak perempuan saya terbunyi ketika saya meninggalkan tempat kerja pada suatu hari. Lebuh raya utama yang penuh sesak seolah-olah menjadi tempat letak kereta maya. Saya cuba pergi ke laluan alternatif tetapi setelah mengalami sekatan di jalan lain, saya berputus asa. Oleh sebab terpaksa menunggu sehingga lewat hari untuk meneruskan perjalanan pulang, maka saya memandu ke arah yang bertentangan untuk menghadiri acara sukan yang disertai oleh cucu perempuan saya.

Dengan mengetahui bahawa tiada jalan yang dapat membawa saya pulang, ia membuat saya berfikir mengenai orang yang mengatakan bahawa semua jalan menuju kepada hubungan yang kekal dengan Tuhan. Sesetengah orang percaya bahawa kebaikan dan tingkah laku baik akan membawa anda ke syurga. Yang lain pula memilih jalan untuk melakukan hal-hal keagamaan.

Akan tetapi, dengan bergantung kepada jalan-jalan itu, ia akan membawa kita ke jalan buntu. Hanya ada satu jalan menuju ke hadirat Tuhan yang abadi. Yesus menjelaskan hal ini ketika Dia berkata, “Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku” (Yohanes 14:6). Dia mendedahkan bahawa Dia akan mati demi membuka jalan bagi kita untuk memasuki rumah Bapa-Nya—hadirat-Nya dan hidup sejati yang disediakan-Nya untuk hari ini dan selamanya.

Elakkan jalan tersekat yang tidak membawa kita ke hadirat Tuhan. Sebaliknya, percayalah Yesus sebagai Penyelamat kerana “Sesiapa yang percaya kepada Anak itu beroleh hidup sejati dan kekal” (3:36). Bagi mereka yang sudah percaya kepada-Nya, beristirahatlah dengan cara yang telah disediakan-Nya.