Di sebuah kedai telefon, seorang pastor muda bersedia untuk menerima satu berita buruk. Telefon bimbitnya yang terjatuh di kelas Alkitab nampaknya tidak dapat dibaiki lagi, bukan? Sebenarnya tidak. Pekerja kedai itu memulihkan kesemua maklumat, termasuk video Alkitab dan gambar-gambarnya. Dia juga memulihkan “setiap gambar yang pernah dihapus,” katanya. Pekedai itu juga “menggantikan telefon bimbit saya yang lama dengan telefon bimbit yang baru.” Seperti yang dikatakannya, “Saya telah memulihkan semua yang hilang dan sebenarnya, lebih daripada itu.”
Daud pernah mengetuai misi pemulihannya sendiri setelah diserang oleh orang Amalek yang kejam. Setelah disuruh pulang oleh para panglima Filistin, Daud dan askarnya mendapati orang Amalek telah menyerbu dan membakar kota Ziklag—menawan semua “kaum wanita”, termasuk semua isteri dan anak mereka (1 SAMUEL 30:2-3). “Daud dan anak buahnya menangis dengan pilu dan tidak berhenti-henti sehingga mereka tidak dapat menangis lagi” (AYAT 4). Anak buahnya marah terhadap ketua mereka Daud dan “mereka mengancam untuk merejam Daud” (AYAT 6).
“Tetapi TUHAN Allahnya menguatkan hatinya” (AYAT 6). Seperti yang dijanjikan Tuhan, Daud mengejar orang Amalek dan dia “berjaya mengambil semula semua yang dirampas oleh orang Amalek, termasuk kedua-dua orang isterinya; tiada suatu pun yang hilang. Daud mendapatkan semula semua anak lelaki dan anak perempuan anak buahnya, serta segala sesuatu yang sudah dijarah oleh orang Amalek” (AYAT 18-19). Semasa kita menghadapi serangan rohani yang “merampas” harapan kita, semoga kita mendapat kekuatan baru dalam Tuhan. Dia akan menyertai kita dalam setiap cabaran hidup.
ILHAM
Ketika Tuhan memampukan Daud untuk menyelamatkan orang tersayangnya yang diculik (1 Samuel 30:1–20), kejayaannya menonjolkan kegagalan Saul untuk menyelamatkan ahli keluarganya. Ketika dikepung oleh tentera Filistin yang jauh lebih ramai daripada bilangan askarnya, Saul memohon bantuan daripada Tuhan, namun permohonannya tidak dijawab (28:4-6). Secara terdesak, dia mencari seorang pemanggil arwah untuk memanggil kembali arwah penasihat setianya, iaitu Samuel (ayat 7-9). Arwah Samuel muncul, namun dia memberitahu Saul apa yang tidak ingin didengarnya. Pada keesokan hari, tentera Israel akan ditewaskan, seterusnya Saul dan anak-anaknya akan mati (ayat 16-20].Saul dan Daud menunjukkan bahawa kita memerlukan seorang Raja yang boleh memutuskan kuasa dosa dan maut, yang dapat menyelamatkan setiap orang, termasuk musuh-musuh-Nya.