Apabila pondok rumah seorang penduduk di wilayah pergunungan Alaska terbakar, dia kehilangan tempat tinggal dan hanya tinggal sedikit bekalan di negeri yang paling sejuk di Amerika Syarikat pada pertengahan musim sejuk. 3 minggu kemudian, lelaki itu akhirnya diselamatkan apabila sebuah pesawat melalui tempat itu terlihat isyarat kecemasan SOS di atas salji yang dilapisi jelaga.
Pemazmur Daud juga menghadapi kesukaran. Dia dikejar oleh Raja Saul yang cemburu dan mencuba untuk membunuhnya. Jadi dia melarikan diri ke kota Gat dan dia berpura-pura menjadi gila untuk menyelamatkan nyawanya (LIHAT 1 SAMUEL 21). Selepas mengalami peristiwa itu, Daud menuliskan Mazmur 34, dia berseru dalam doa kepada Tuhan lalu mendapat ketenangan (AYAT 5, 7). Tuhan mendengar seruannya dan menyelamatkannya.
Adakah anda berada dalam situasi terdesak dan berseru untuk meminta pertolongan? Yakinlah bahawa Tuhan masih mendengar dan mengabulkan doa kita pada hari ini. Sebagaimana Dia mendengar doa Daud, Dia juga mendengar seruan penderitaan dengan teliti dan membebaskan kita daripada segala ketakutan (AYAT 5)—malah kadang-kadang menyelamatkan kita “daripada segala kesusahan” (AYAT 7).
Inilah jemputan Tuhan: “Serahkanlah kekhuatiranmu kepada TUHAN, maka Dia akan membela kamu” (MAZMUR 55:23). Apabila kita menyerahkan kesukaran kita kepada Tuhan, kita boleh percaya bahawa Dia akan memberikan pertolongan yang kita perlukan. Kita adalah selamat dalam tangan-Nya yang berkuasa.