Semasa kami sekeluarga pergi bersiar-siar, kami bertemu dengan seorang wanita yang mengenal keluarga suami saya sejak kecil. Dia melihat wajah Alan dan anak lelaki kami, Xavier. “Dia mirip dengan ayahnya,” katanya. “Mata itu. Senyuman itu. Ya. Kelihatan seperti ayah.” Apabila wanita itu mengatakan persamaan mereka yang begitu nyata, dia juga melihat keperibadian mereka yang serupa. Walaupun mereka mempunyai banyak persamaan, anak saya tidak mencerminkan ayahnya dengan sempurna.

Hanya ada seorang Anak—Yesus—yang mencerminkan Bapa-Nya dengan sepenuhnya. “Kristus serupa dengan Allah, tetapi Kristus dapat dilihat, sedangkan Allah tidak. Kristus itu Anak sulung yang lebih utama daripada segala sesuatu yang diciptakan” (Kolose 1:15). Hal itu demikian kerana melalui Dialah Tuhan menciptakan segala sesuatu di syurga dan di atas bumi (AYAT 16). “Kristus sudah ada, sebelum segala sesuatu ada. Kerana Dia juga, segala sesuatu mempunyai tempat yang bersesuaian” (AYAT 17).

Kita boleh meluangkan masa dalam doa dan mempelajari Alkitab, menemukan sifat Bapa dengan melihat Yesus—Tuhan dalam rupa manusia. Dia mengajak kita menyaksikan tindakan yang penuh kasih-Nya dengan meneliti bagaimana Dia berinteraksi dengan orang lain dalam Alkitab dan kehidupan seharian kita. Setelah menyerahkan hidup kita kepada Kristus dan menerima kurnia Roh Kudus, kita dapat bertumbuh dalam pengetahuan dan mempercayai Bapa kita yang penuh kasih. Dia mengubah kita supaya mencerminkan sifat-Nya dan kita boleh hidup untuk-Nya.

Betapa gembiranya jika orang lain mengatakan kita mirip dengan Yesus!