Semasa di universiti, saya menghabiskan kebanyakan masa musim panas di Venezuela. Makanannya sangat enak, penduduknya ceria dan ramah dan cuacanya indah. Walau bagaimanapun, selepas 1 atau 2 hari yang pertama, saya mendapati bahawa pandangan terhadap pengurusan masa saya tidak sama dengan rakan-rakan baru saya. Jika kami merancang untuk makan tengah hari, ini bermakna antara pukul 12:00 dan 1:00 petang. Perkara ini juga berlaku bagi masa perbincangan atau melancong: ia hanya satu anggaran masa tanpa ketepatan. Saya menyedari bahawa konsep saya tentang “ketepatan masa” adalah terbentuk daripada budaya saya sendiri secara mendalam.
Setiap kita dibentuk oleh nilai budaya yang mengelilingi kita, biasanya tanpa disedari. Paulus memanggil kuasa budaya ini “dunia” (Roma 12:2). Di sini, “dunia” tidak bermakna alam semesta fizikal, tetapi merujuk kepada cara pemikiran dalam kehidupan harian kita. Ia merujuk kepada andaian dan panduan hidup tetap yang tidak dapat dipersoalkan, menurut tempat dan zaman yang kita berada.
Paulus mengingatkan kita supaya berwaspada dan tidak ikut kebiasaan dunia. Sebaliknya, kita mesti “membaharui cara [kita] berfikir” (AYAT 2). Kita dipanggil untuk mencontohi pemikiran Tuhan secara aktif dan belajar bagaimana mengetahui “apa yang baik dan yang menyenangkan hati-Nya, serta yang sempurna” (AYAT 2), bukannya mengikut pemikiran dan kepercayaan dunia ini secara pasif. Semoga kita belajar untuk mengikut Tuhan, bukannya suara lain.