Semasa saya dan suami bersiap untuk berpindah ke negeri lain, saya ingin memastikan bahawa kami terus berhubung dengan anak-anak lelaki kami yang sudah dewasa. Saya menjumpai sebuah hadiah yang unik, iaitu lampu persahabatan yang disambungkan dengan internet, yang boleh dihidupkan dari jauh. Apabila saya memberikan lampu itu kepada anak-anak lelaki saya, saya menerangkan bahawa lampu mereka akan hidup apabila saya menyentuh lampu saya—untuk memberikan peringatan “bersinar” tentang kasih dan doa saya yang berterusan. Tidak kira betapa jauhnya jarak di antara kami, satu sentuhan di atas lampu mereka juga akan menghidupkan lampu di rumah kami. Walaupun kami tahu tiada suatu pun yang boleh menggantikan saat perhubungan yang intim ini, kami akan terdorong dengan mengetahui bahawa ada orang mengasihi dan mendoakan kami setiap kali kami menghidupkan lampu tersebut.
Semua anak Tuhan mempunyai hak istimewa untuk menjadi orang yang berkongsi cahaya melalui kuasa yang diberikan oleh Roh Kudus. Kita dicipta untuk hidup sebagai terang yang menyinarkan harapan kekal dan kasih Tuhan yang tidak bersyarat. Apabila kita berkongsi Berita Baik dan melayani orang lain dengan nama Yesus, kita menjadi lampu yang terang dan kesaksian yang hidup. Setiap perbuatan yang baik, senyuman mesra, kata-kata dorongan yang lembut, dan doa yang ikhlas menghasilkan peringatan yang terang tentang kesetiaan Tuhan dan kasih abadi Tuhan yang mengubah hidup (Matius 5:14-16).
Di mana sahaja Tuhan memimpin kita, dan bagaimana kita melayani-Nya, kita boleh dipakai oleh-Nya untuk membantu orang lain menyinarkan cahaya-Nya. Semasa Tuhan mengurniakan terang-Nya yang benar melalui Roh-Nya, kita dapat memancarkan cahaya dan kasih tentang hadirat-Nya.