“Masa berlalu. Perang terjadi.” Demikianlah Uskup Semi Nigo yang berbangsa Keliko di Sudan Selatan menerangkan pergelutan panjang gerejanya untuk mendapatkan Alkitab dalam bahasa mereka sendiri. Sebenarnya, tiada satu pun perkataan pernah dicetak dalam bahasa Keliko. Beberapa dekad sebelumnya, datuk Uskup Nigo dengan berani memulakan projek penterjemahan Alkitab, tetapi perang dan pergolakan sering menghentikan usaha mereka. Walaupun terdapat serangan berulang kali di kem pelarian mereka di utara Uganda dan Republik Demokratik Congo, uskup dan rakan-rakannya tetap meneruskan projek itu.

Ketekunan mereka membuahkan hasil. Setelah hampir 3 dekad, para pelarian menerima Alkitab Perjanjian Baru dalam bahasa Keliko dengan gembira. “Motivasi orang Keliko ini tidak dapat dilupakan,” kata seorang penasihat projek tersebut.

Komitmen orang Keliko ini mencerminkan ketekunan yang dituntut oleh Tuhan terhadap Yosua. Seperti Tuhan berbicara kepadanya, “Pastikanlah supaya Kitab Taurat sentiasa dibacakan kepada umat-Ku semasa kamu beribadat. Kajilah kitab itu siang dan malam; pastikanlah supaya engkau mentaati segala yang tertulis di dalamnya. Dengan demikian engkau akan makmur dan berjaya” (Yosua 1:8). Dengan ketekunan yang sama, orang Keliko meneruskan penterjemahan Alkitab. Sekarang, “apabila anda melihat mereka di dalam kem, mereka tersenyum,” kata seorang penterjemah. Dengan mendengar dan memahami Alkitab, ini “memberi mereka harapan.” Seperti orang Keliko, semoga kita tidak berputus asa untuk mencari kuasa dan kebijaksanaan Alkitab.