Menurut legenda, Sir Thomas Beecham, seorang konduktor British pernah terserempak seorang wanita yang seperti orang kenamaan di ruang legar hotel. Dia rasa dia mengenali wanita itu tetapi tidak dapat mengingat namanya. Dia pun berhenti dan bercakap dengannya. Dalam perbualan itu, dia teringat bahawa wanita itu mempunyai seorang abang. Untuk mengesahkannya, dia bertanya bagaimana keadaan abangnya dan adakah dia masih memegang pekerjaan yang sama. “Oh, dia baik-baik saja,” katanya, “Dia masih seorang raja.”
Salah mengecamkan orang adalah agak memalukan, seperti yang terjadi kepada Sir Beecham. Tetapi wujudnya situasi yang lebih serius, misalnya Filipus, pengikut Yesus. Dia tentu sahaja mengenal Yesus, tetapi dia tidak menghargai siapa Dia sepenuhnya. Dia menginginkan Yesus menunjukkan Bapa kepada mereka dan Yesus menjawab, “Orang yang sudah melihat Aku, sudah melihat Bapa” (Yohanes 14:9). Sebagai Anak Tuhan yang unik, Yesus menyingkapkan Bapa dengan sangat sempurna—mengenal Dia adalah mengenal Bapa (ayat 10–11).
Jika kita pernah tertanya-tanya perwatakan, keperibadian, atau kepedulian Tuhan kepada orang lain, maka kita hanya perlu melihat Yesus untuk mengetahuinya. Perwatakan, kebaikan, kasih, dan belas kasihan Yesus memperlihatkan sifat Tuhan. Walaupun Tuhan kita adalah luar biasa, menakjubkan di luar pemahaman kita, kita mempunyai kurnia yang mengagumkan—Yesus yang menyatakan sifat Tuhan.