Menurut legenda Cina, ketika Sai Weng kehilangan salah seekor kudanya yang berharga, jirannya menyatakan kesedihan atas kehilangan itu. Tetapi Sai Weng tidak bimbang. Dia berkata, “Mungkin itu sesuatu yang baik bagi aku?” Hairannya, kuda yang hilang itu kembali ke rumah dengan seekor kuda lagi. Ketika jiran itu mengucapkan tahniah kepadanya, Sai Weng berkata, “Mungkin itu perkara yang buruk bagi aku?” Ternyata, kaki anaknya patah ketika dia menunggang kuda baru itu. Ini kelihatan seperti musibah, sehinggalah tentera tiba di kampung mereka untuk merekrut semua orang yang mampu berperang. Oleh sebab kecederaan anak lelaki itu, dia tidak direkrut dan mengelakkan kematian di medan perang.

Inilah kisah di sebalik peribahasa Cina yang mengajarkan bahawa kesukaran boleh menjadi berkat yang terselindung dan sebaliknya. Kebijaksanaan kuno ini mempunyai persamaan dalam Pengkhutbah 6:12: “Bagaimana orang dapat mengetahui apa yang terbaik bagi hidup manusia?” Sesungguhnya, tidak seorang pun tahu tentang masa depan kita. Kesusahan mungkin membawa manfaat yang positif dan kemakmuran mungkin memberi kesan yang buruk.

Setiap hari menawarkan kita peluang, kegembiraan, pergelutan, dan penderitaan yang baharu. Sebagai anak-anak yang dikasihi Tuhan, kita dapat bersandar pada kedaulatan-Nya dan mempercayai-Nya melalui masa-masa yang baik dan buruk. “Kedua-duanya datang daripada Allah” (7:14). Dia bersama-sama kita dalam semua peristiwa hidup kita dan menjanjikan penjagaan-Nya yang penuh kasih.